Pengasas kelab komedi didakwa esok, kata Bukit Aman


PENGASAS bersama Crackhouse Comedy Club Rizal Van Geyzel akan didakwa esok atas video di mana dia menggelar orang Melayu “malas”, kata Bukit Aman hari ini.

Rizal akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi di Mahkamah Jenayah Siber Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi esok.

Dia berhadapan tiga pertuduhan atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian kerana berkongsi video yang mempersenda sensitiviti dan sentimen kaum.

Kelab itu telah diselubungi kontroversi selepas seorang wanita didakwa menghina Islam ketika cuba membuat lawak di kelab berkenaan, selain dikatakan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan umat Islam melalui persembahannya di kelab itu di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Siti Nuramira Abdullah didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Rizal pula ditahan susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, termasuk satu daripada Sayap Bersekutu Bersatu atas dakwaan menghina orang Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang menghina agama dan menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat. – 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen