Pengasas bersama kelab komedi ditahan, kata sumber polis


Alfian Z.M. Tahir

Pengasa bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi. – Gambar Facebook, 14 Julai, 2022.

PENGASAS bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel ditahan selepas video yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama tersebar, kata sumber polis.

Menurut sumber di Balai Polis Dang Wangi, Rizal yang juga pelawak ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Polis akan memohon perintah reman esok,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan Rizal ditahan dan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Bukit Aman.

Rizal ditahan susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, termasuk satu daripada Sayap Bersekutu Bersatu atas dakwaan menghina orang Melayu.

Lelaki itu ditahan sehari selepas Siti Nuramira Abdullah, wanita yang mengaku hafal Al-Quran sebelum membuka tudung semasa membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tuduhan menghina Islam.

Siti Nuramira, 26, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. – 14 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen