2 lagi ditahan kes seleweng dana Penjana Kerjaya


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI antirasuah menahan dua lagi individu dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana dari Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya).

Sumber berkata, dua suspek yang masing-masing pemilik syarikat berusia 30-an dan pengarah berusia 40-an itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sehingga kini seramai 42 orang ditahan dalam Op Hire termasuk dua individu yang akan direman hari ini.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya kepada The Malaysian Insight.

SPRM dilaporkan menyiasat beberapa syarikat dan individu dan menjangka membuat beberapa tangkapan lain selepas menahan 37 individu dalam Op Hire.

Jumaat lalu, seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara tiga individu ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat menyeleweng RM100 juta dana itu.

Mereka disyaki mengambil kesempatan menggunakan platform program Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu.

Antara yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat sendirian berhad.

Syarikat itu sepatutnya membuat latihan dan menggaji pekerja dalam bidang industri, namun didapati mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.

Majikan terlibat dipercayai mengambil data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan untuk membuat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan itu.

Kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan berkenaan tidak pernah bekerja di syarikat terbabit.

Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.

Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi tujuan merangsang ekonomi negara dengan mewujudkan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran. – 18 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen