Saravanan akui ada individu terbabit tuntutan palsu PenjanaKerjaya


M Saravanan mengulas dakwaan beberapa pihak mengenai anggota parti MIC ditahan SPRM kerana terbabit tuntutan palsu berkaitan PenjanaKerjaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2022.

MENTERI Sumber Manusia M Saravanan hari ini tidak menafikan ada individu dalam kalangan anggota MIC terbabit dalam tuntutan palsu berkaitan progam insentif pengambilan pekerja (PenjanaKerjaya).

Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, bagaimanapun pembabitan individu dalam tuntutan palsu itu tidak mempunyai kaitan dengan parti MIC.

“Saya setakat ini tidak ada sebarang maklumat (mengenainya) tapi saya tidak boleh nafikanlah pembabitan individu, tapi itu tidak ada kaitan dengan MIC,” katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Flex Oenang berhubung usaha memperkasa penempatan pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di kilang Flex Plan 5 hari ini.

Saravanan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak yang didengarinya, mengenai beberapa anggota parti politik itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit tuntutan palsu berkaitan PenjanaKerjaya.

SPRM sebelum ini dilaporkan menahan reman 40 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri menerusi Op Hire beberapa hari lalu. – Bernama, 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen