Rafizi suntik semangat baru untuk Pakatan, kata penganalisis


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Rafizi Ramli dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara dan berani sekalipun sesetengah menganggapnya sebagai celupar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2022.

RAFIZI Ramli yang lantang dan berterus terang sehingga sesetengah orang menganggapnya celupar adalah  watak yang diperlukan oleh pembangkang sekarang menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Namun penganalisis politik percaya akauntan bertauliah itulah yang diperlukan PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Beliau masih idealistik walaupun sudah lama tidak terbabit dengan politik,” kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei.

Selepas mendengar ucapan sulungnya sebagai timbalan presiden PKR yang baru dipilih pada akhir kongres PKR awal hari ini, Lau berkata, Rafizi seorang ahli politik yang jarang ditemui dan tidak konvensional yang berani menentang presiden PKR Anwar Ibrahim secara terbuka dan tidak hanya menurut perintah.

Anwar jarang sekali menghadapi kritikan terbuka dalam PKR, yang mana bagi rakyat biasa, masih kelihatan sebagai parti yang taksub untuk menjadikannya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun Rafizi memberi amaran kepada pengerusi PH supaya mengambil kira keputusan tinjauan baru-baru ini yang menyaksikan popularitinya semakin merosot.

Beliau juga memberitahu penyokong tegar ahli Parlimen Port Dickson itu supaya berhenti “membodek” pemimpin itu. Fokus parti, kata Rafizi, sepatutnya tertumpu kepada memenangi semula hati pengundi.

Ketika timbalan presiden PKR terdahulu Mohamed Azmin Ali, popular kerana menuruti aturan politik, Rafizi pula sebaliknya, kata Lau.

Tidak seperti Azmin, Rafizi menyatakan semua “perkara yang betul” seperti meritokrasi dalam pemilihan calon dan menolak idea khemah besar untuk PRU15.

“Ambil isu khemah besar sebagai contoh. Apa yang dikatakan oleh Rafizi berasas. Ramai penyokong Pakatan adalah pengundi yang mempertahankan prinsip dan cita-cita dan walaupun gabungan besar parti pembangkang akan membantu Pakatan, mereka tidak mahukannya,” kata Lau.

Mengenai perkara itu, Lau percaya Rafizi betul.

Penolakan Rafizi terhadap idea khemah besar berdasarkan kebimbangan mereka akan berdepan risiko pengkhianatan sekali lagi, seperti Langkah Sheraton pada 2020 apabila Bersatu menarik diri daripada PH untuk menyebelahi Barisan Nasional dan PAS, menyingkirkan PH sebagai kerajaan persekutuan. Rafizi juga memberi amaran idea khemah besar itu akan menyebabkan PH kehilangan pengundi asasnya.

Sedikit sebanyak, pendirian Rafizi mengenai khemah besar juga dicerminkan menerusi pemilihan jawatankuasa kepimpinan pusat (MPP) PKR yang mana 13 calon memihak kepada Rafizi menguasai 20 kerusi MPP.

Sebelum undian MPP dijalankan, Rafizi menggesa perwakilan PKR memilih mereka daripada senarai 26 calon yang disahkannya, semuanya juga menentang idea khemah besar itu.

Pendirian Rafizi Ramli mengenai khemah besar dicerminkan menerusi pemilihan MPP PKR yang mana 13 calon memihak kepada Rafizi menguasai 20 kerusi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2022.

Berwawasan dan bertenaga

Walaupun keberanian Rafizi juga boleh dianggap satu sikap melulu, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, bekas ahli Parlimen Pandan itu mempunyai beberapa idea menarik dan tenaga yang sesuai untuk tugas itu.

“PKR dan Pakatan agak tertekan selepas 2020 apabila mereka kehilangan kerajaan. Sejak itu, mereka juga kalah teruk dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) - Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

“Walaupun kepimpinan utama PH masih utuh, ia hambar dan seolah-olah hilang arah,” kata pensyarah pengajian etnik Melayu itu.

Awang Azman percaya Rafizi boleh menjadi dorongan yang tepat diperlukan PKR dan PH pada masa ini.

Selain perkara biasa mengenai merapatkan barisan selepas pemilihan PKR, Rafizi mengemukakan dua cadangan semasa ucapan pertamanya sebagai timbalan presiden hari ini.

Cadangan pertama adalah seluruh parti perlu membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri Najib Razak pada Selasa. Cadangan kedua PKR perlu menubuhkan koperasi sendiri untuk mempamerkan agenda ekonominya.

Mengenai Najib, Rafizi menjelaskan bekas perdana menteri yang disabitkan bersalah itu membuat terlalu banyak kenyataan dan mencetuskan sentimen perkauman menjelang pilihan raya.

“Jangan biarkan beliau meracuni orang ramai dan mempermainkan politik perkauman. Dan setiap kali beliau berbohong, kita mesti membuat laporan polis,” kata Rafizi.

Beliau menegaskan Najib, yang merayu sabitannya, bertindak demikian kerana pembangkang mengalihkan perhatian mereka daripadanya.

Ia membolehkan bekas presiden Umno itu berkempen untuk Umno secara terbuka dan membina semula reputasinya walaupun disabitkan dengan rasuah pada 2020.

Cara Rafizi yang sering melakukan serangan serta gesaannya kepada parti untuk menumpukan perhatian kepada musuh di luar, selain amarannya kepada Anwar supaya menyedari kejatuhan popularitinya, mencerminkan pendirian tegasnya. – 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen