Laporan polis terhadap penipuan Najib mulai Selasa ini, seru Rafizi


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menyeru laporan polis dibuat terhadap Najib Razak mulai Selasa ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2022.

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli meminta pimpinan parti untuk membuat laporan polis terhadap Najib Razak, mulai minggu ini kerana terus-terusan “berbohong” dan mengelirukan rakyat.

Beliau mahu laporan polis itu mula dibuat Selasa ini oleh pimpinan PKR di semua peringkat di seluruh Malaysia.

“Setiap kali Najib berbohong selepas ini, saudara-saudari, jangan duduk diam. Kita akan buat laporan polis demi laporan polis demi laporan polis… sebab saya tahu, Najib seorang yang penakut.

“Dia sembang kencang sebab orang tak lawan dia. Bila kita mula pastikan setiap pembohongan dan propaganda dia kita akan lawan, Najib selepas ini akan jawab sama macam dia jawab di mahkamah – semua dia tak tahu,” katanya, dalam ucapan penggulungan di hujung Kongres Nasional PKR 2022 di Shah Alam.

Tegas Rafizi, menyanggah Najib adalah tugas besar pertama yang mesti dibuat oleh ahli dan pimpinan PKR selepas tamat kongres tahunannya kali ini.

“Kita tidak boleh biarkan Umno syok sendiri macam itu.  Kita sudah jatuhkan dia (Najib) sehingga jadi pesalah dan banduan. Kalau kita tidak terus sanggah dia, dia rasa dia masih lagi pembesar negara,” katanya.

Jelas Rafizi, Najib tidak boleh dibiarkan terus “ikut suka main isu perkauman, ikut suka racun rakyat.”

“Enough is enough (cukuplah) dan itu mesti bermula daripada kita. Laporan polis, hari Selasa ini, terhadap Najib, InsyaAllah,” tambah Rafizi.

Najib tidak boleh terus dibiarkan memainkan isu perkauman dan ikut suka racun rakyat, kata Rafizi Ramli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2022.

Rafizi menetapkan kerja melawan Najib sebagai tugas utamanya apabila beliau mengumumkan kembali aktif berpolitik dan bertanding jawatan timbalan presiden parti selepas bercuti tidak lama selepas PRU14.

Sementara itu, Rafizi juga mahu PKR fokus mengukuhkan jentera pilihan raya yang beliau percaya hanya “tiga empat bulan lagi.”

Katanya, beliau sendiri akan mula turun ke lapangan terutamanya ke kerusi tumpuan.

“Saya akan kerja kuat, tetapi jangan pula (perwakilan semua) tepuk saja… aku berlari di depan kamu semua tepuk di belakang,” katanya.

Rafizi juga berkata beliau akan mengusulkan kepada Majlis Pimpinan Pusat untuk segera menubuhkan sebuah koperasi yang bukan sahaja menjaga kebajikan ahli parti tetapi menyusun satu program ekonomi.

Rafizi menang pemilihan timbalan presiden PKR mengalahkan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution.

Kongres PKR hari ini mengesahkan barisan kepimpinan baharu yang akan memimpin parti sehingga 2025, dengan fokus segera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. – 17 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen