Perang Ukraine: Polong makan tuan


Hishamuddin Rais

FAKTA dipencongkan. Hingga ke hari ini ramai tidak sedar Perang Ukraine sebenarnya telah bermula pada 20 Februari 2014. Perang ini awalnya pecah di wilayah Crimea dan Donbass. Punca meletusnya perang bermula pada tahun 2014 apabila Amerika berjaya membuat ‘rampasan kuasa’ menjatuhkan kepimpinan Ukraine yang tidak mahu bermusuh dengan Rusia.

Kerajaan baru hasil ‘coup’ yang didukung oleh Amerika mengambil dasar anti-Rusia dan pro-Amerika. Ukraine berubah daripada berkecuali terhadap Rusia kini menjadi musuh Rusia.

Tidak benar apabila media arus perdana Barat melaporkan Ukraine diserang tanpa provokasi. Ini tidak betul. Seawal 2008 lagi Amerika telah mencadangkan agar Ukraine menjadi anggota Nato – North Atlantic Treaty Organisation.

Seawal 2008 lagi Rusia dan Putin telah menyatakan bahawa Rusia tidak mahu Ukraine menjadi anggota   Nato. Ukraine yang bersempadan dengan Rusia perlu berkecuali. Ini untuk keselamatan Rusia dan keselamatan Eropah.

Rusia juga membantah perluasan wilayah Nato ke Timur. Rusia bersuara membantah kemasukan negara-negara bekas Soviet Union ke dalam Nato seperti Poland, Bulgaria, Republik Czech atau Latvia. Tapi hanya bantahan tanpa tindakan kerana negara ini tidak berkongsi sempadan seperti Ukraine.

Amerika tidak ambil pot atau tidak menoleh pandang bila Rusia bersuara. Dalam bacaan Amerika, sesudah runtuh Soviet Union (1991), Rusia dilihat terlalu lemah untuk melakukan apa-apa tindakan balas.

Rentetan daripada babak-babak ini telah menjemput Putin untuk melancarkan Operasi Istimewa Putin bermula pada 24 Februari 2011.

Kini perang Ukraine telah masuk ke bulan ke lima.

Pada minggu pertama dan kedua setelah Putin masuk menyerang Ukraine, dunia merasa lega apabila Turki berjaya mempertemukan dua musuh yang berperang di Ankara.

Turki yang ada hubungan baik dengan Putin dan Turki juga anggota Nato, justeru, telah bersedia menjadi orang tengah. Awalnya seperti perdamaian akan tercapai. Kemudian senyap.

Hari ini tidak kedengaran lagi usaha mencari jalan penyelesaian.

Paling akhir dunia diberitahu tentang Langkah Jokowi. Ini berlaku pada akhir Jun dan awal Julai. Presiden Jokowi dari Indonesia telah pergi ke Ukraine berjumpa Presiden Zelensky. Kemudian Jokowi terbang pula ke Moscow untuk bertemu dengan Presiden Putin. Dilaporkan Putin membawa surat Zelensky untuk Putin.

Apa isi kandungan surat ini wallahualam bissawab. Hanya Guru Nanak yang tahu.

Presiden Jokowi dilaporkan telah menjemput Zelensky datang ke Bali, Indonesia pada 15 dan 16 November 2022 depan. Jokowi menjemput Zelensky untuk menjadi tamu Indonesia di Persidangan G20. Ukraine dijemput sebagai tamu kerana Ukraine bukan anggota G20. Putin akan hadir di Bali kerana Rusia anggota G20.

Kita lihat apa akan berlaku di Bali November ini, apakah Langkah Jokowi membawa hasil.

Sementara itu mari kita lihat apa dampak – apa kesan – perang Ukraine kepada dunia dan khususnya kepada Eropah.

Bila sahaja Rusia menyerang Ukraine – Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah melancarkan sekatan ekonomi yang amat ketat terhadap Rusia. Ini bukan kali pertama Rusia dikenakan sekatan ekonomi.

Sekatan ekonomi ini bertujuan untuk memandulkan tenaga ekonomi Rusia dari berupaya menyerang Ukraine.

Amerika telah juga mengarahkan Nato yang didirikan pada tahun 1949. Nato ialah perjanjian persenjataan yang dikepalai oleh Amerika – untuk memberi sokongan persenjataan kepada Ukraine.

Musuh utama  Nato dahulu ialah Soviet Union. Ini berlaku dalam Perang Dingin sebelum runtuhnya Soviet Union.

Pelbagai jenis senjata yang ringan dan berat telah dihantar ke Ukraine oleh 30 buah negara anggota Nato. Pada masa yang sama Presiden Biden secara sedar telah mengambil dasar di mana Nato – bala tentera Nato – tidak akan terlibat di medan Ukraine.

Senjata dihantar oleh Nato. Tetapi soldadu Nato tidak campur dalam perang.

Amerika dan Nato enggan berperang dengan Rusia. Strategi ialah Amerika menjadikan warga Ukraine ‘umpan katak’ untuk memusnahkan Rusia.

Perang Ukraine ini adalah perang proksi di mana Amerika dan Nato menggunakan soldadu Ukraine ke titisan darah terakhir untuk menundukkan Rusia.

Amerika sendiri telah menghantar senjata bernilai AS$35 bilion untuk membantu Ukraine. Pelbagai jenis senjata buatan Amerika telah diterbangkan Ukraine.

Ketika senjata mencurah masuk dari Nato – dunia diberitahu bahawa Rusia telah berjaya menawan wilayah Donbass. Ini bermakna lebih dari 20% bumi Ukraine kini telah di tawan oleh pasukan tentera dan gerila pemisah Republik Rakyat Donbass yang mendapat sokongan dan bantuan Rusia.

Dari segi perang dan tentera amat jelas walaupun ada senjata terkini dan tercanggih dari Amerika dan  Nato – bala tentera Ukraine tidak dapat bertahan.

Soldadu Ukraine hanya berjaya melambatkan kemaraan askar Rusia dalam projek Operasi Istimewa Putin. Hakikatnya soldadu Ukraine tidak dapat mengalahkan bala tentera Rusia.

Malah komander di Donbass mengakui bahawa setiap hari antara 200 ke 500 soldadu Ukraine gugur atau cedera. Ini belum dikira ratusan yang ditawan atau menyerah diri. Semua mereka kini menjadi tawanan perang dan dibawa masuk ke Rusia.

Satu demi satu kampung, pekan dan bandar Ukraine telah jatuh ke tangan Rusia. Ini fakta.

Media Barat yang menyokong langkah Nato dan projek Amerika tidak melaporkan berita-berita seperti yang ditulis disini. Sama seperti Perang Vietnam, Perang Iraq dan Perang Afghanistan – dunia ditaburi dengan ‘berita ganja’ agar pembaca terus berkhayal bahawa Ukraine akan menang. Rusia akhirnya akan kalah.

Berita alternatif yang seimbang wujud tetapi sesiapa yang rajin mencarinya wajib merayau-rayau dalam alam siber. Media arus perdana tidak akan memberi pandangan kedua tentang apa yang berlaku di Ukraine.

Mangsa pertama perang ialah kebenaran. Laporan berita menjadi propaganda. Maklumat disebar sebagai senjata perang saraf. Berita palsu dan maklumat palsu digunakan oleh Ukraine dan Rusia.

Dalam YouTube berita yang dilihat bersimpati dengan Rusia atau tidak menyokong langkah Amerika akan diketepikan dan dipersusah untuk ditemui. Kerja ini dilakukan oleh algoritma Internet.

RT – Russia Today – saluran TV lidah resmi Rusia telah diharamkan salurannya di Amerika dan di Eropah. RT juga tidak akan dapat ditemui di YouTube.

Secara terbuka Presiden Biden telah berkata bahawa: “Putin must go…”

Tujuan akhir Amerika dalam Perang Ukraine ini ialah untuk melemahkan Rusia. Sekatan ekonomi di harapkan akan menyusahkan warga Rusia. Kesusahan hidup ini diharapkan akan memangkin berlaku pemberontakan terhadap Putin.

Lagi lama pentas perang ini dibuka lagi baik untuk strategi Amerika menjadi kenyataan.

Justeru persoalan timbul: Jika senjata dilihat gagal, bagaimana pula dari segi sekatan ekonomi.

Apakah kesan sekatan ekonomi terhadap ekonomi Rusia dan Putin? Apakah Rusia telah porak peranda. Apakah warga Rusia kini mula bangun melawan kepimpinan Putin.

Keadaan ekonomi Rusia boleh dijawab dengan satu ayat: Rubel matawang Rusia semakin kukuh berbanding sebelum pecah perang.

Biden boleh menggali lubang untuk Putin. Kesatuan Eropah boleh memasang jerangkap terhadap Putin. Tapi hasilnya jadi bahan lawak.

Lawak kerana semua perangkap kini melejang diri sendiri. Semua lubang yang digali akhirnya diri sendiri terjerumus. Betul, sekatan ekonomi ini menekan Rusia. Tapi yang lebih terkesan akibat sekatan ekonomi ialah warga Eropah dan warga Amerika sendiri.

Amerika melarang negara-negara di Eropah mengimport bahan bakar minyak dan gas dari Rusia.

Hasil larangan membeli minyak dan gas dari Rusia ini telah melonjakkan harga bahan mentah ini. Malah Rusia mendapat tambahan berbilion dolar hasil dari jualan gas dan minyak. Ini kerana sekatan ini menjadikan minyak dan gas berkurangan dalam pasaran.

Wajib diketahui Rusia adalah pengeluar minyak kedua terbesar dalam dunia sesudah Saudi Arabia. Rusia jaga pengeluar gas utama dalam dunia.

Sekatan minyak ini telah memberi dampak yang paling hebat kepada pengguna di Amerika. Inilah kali pertama semenjak 1974 harga petrol di stesen minyak melintas lebih dari 5 dolar segelen. Inflasi di Amerika kini mencecah 9.1 % tertinggi semenjak empat dekad.

Presiden Biden merancang sekatan ekonomi agar warga Rusia terseksa; kini yang terseksa parah ialah warga Amerika sendiri.

Harga bahan bakar minyak juga meledak naik di Eropah. Warga Kesatuan Eropah dari Itali, Sepanyol, Perancis, United Kingdom – semua sedang menerima bala akibat sekatan ekonomi terhadap Rusia.

Contoh terbaik untuk membuktikan kegagalan strategi sekatan ekonomi ini ialah dengan melihat apa yang sedang berlaku di Jerman.

Negara Jerman mengimport 30% gas dari Rusia. Ketika perang bermula German telah berdolak dalik dan bersilat lidah dalam hal memboikot gas Rusia.

Jerman memerlukan talian hayat Nord Stream 1 dan Nord Stream 2. Ini adalah paip laluan gas dari Rusia yang mula beroperasi pada tahun 1997. Nord Stream 2 dibuat pada tahun 2011 dan seharusnya beroperasi pada tahun 2022.

Paip sejauh 1,222 kilometer ini melintasi laut dan daratan adalah tali hayat gas untuk ekonomi Jerman.

Amerika memberi tekanan agar paip ini ditutup. German bersetuju untuk menutup Nord Stream 2 – walhal paip ini belum beroperasi. Manakala Nord Stream 1 masih beroperasi.

Bila sekatan ekonomi dijalankan Rusia telah bertindak balas. Syarikat yang membeli gas dan minyak dari Rusia wajib membayar dalam rubel – matawang Rusia.

Ha ha… secara gelap dan senyap-senyap beberapa syarikat German telah membayar dengan Rubel. Justeru, nilai Rubel naik.

Rusia juga mula mengurangkan dan membatalkan syarikat yang enggan membeli gas menggunakan Rubel. Hasil dari tindakan Rusia ini negara Jerman kini berhadapan dengan malapetaka.

Ketika ini masih musim panas. Dalam bulan Oktober musim sejuk akan sampai. Ketika musim panas ini lagi bahan bakar gas telah semakin berkurangan di German.

Kerajaan telah mula mencatu penggunaan gas. Majlis tempatan dan majlis bandaran telah memberi nasihat kepada warga agar berjimat cermat menggunakan gas. Malah mandi menggunakan air panas telah dicadang hanya sehari sekali.

Ini belum lagi masuk musim sejuk. Kini majlis tempatan akan menyediakan bilik dan ruang khas untuk warga yang kurang mampu membeli gas untuk memanaskan badan.

Harga gas kini meledak naik. Bukan sahaja mahal tapi susah untuk didapati. Walau pun tidak seburuk keadaan di Sri Lanka di mana warga beratur berjam-jam untuk membeli sebalang gas.

Tiba-tiba pada 10 Julai ini Rusia menutup terus paip Nord Strem 1. Ini untuk pembaikan – repairation works – yang perlu dilakukan saban tahun.

Gazprom – pemilik Nord Strem 1 – telah mengumumkan bahawa penutupan hanya untuk sementara. Dalam masa 10 hari paip ini akan dibuka kembali.

Jerman gempar. Kerajaan tergugat. Apakah Putin akan jadikan gas sebagai senjata untuk menyerang Jerman.

Jelas perangkap untuk Rusia telah melejang ke muka sendiri. Lubang yang digali untuk menanamkan Rusia kini Jerman dan negara Kesatuan Eropah terjerumus sendiri.

Kita lihat dan tunggu apa seterusnya akan berlaku. Apakah Putin akan terus menutup Nord Stream 1? Ini menjadi tanda tanya oleh seluruh warga Jerman. Di musim panas mereka sedang menggigil sejuk bayangkan bila musim sejuk sampai.

Ketika tulisan ini digarap nilai Euro – matawang Kesatuan Eropah yang sentiasa tinggi dari Dolar jatuh. Kini Euro sama nilainya dengan Dolar – 1 Euro, 1 Dolar. Jelas projek boikot Rusia telah mencekik leher sendiri.

Presiden Biden hantar polong ke Rusia. Kini polong sedang makan tuan. – 17 Julai, 2022.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen