Pakatan akan terus jalin kerjasama dengan pembangkang, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika berucap pada Kongres PKR ke-16 di Shah Alam, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2022.

ANWAR Ibrahim memberi jaminan akan tetap membina jaringan bersama parti pembangkang lain, ketika Pilihan Raya Umum ke-15 perlu diadakan dalam masa setahun dari sekarang, namun menegaskan Pakatan Harapan (PH) akan kekal sebagai induk utama.

Jalinan kerjasama itu wajar, kata presiden PKR, kerana beliau ketua pembangkang di Parlimen.

“Walaupun ada ketegangan dan perselisihan, Anwar ini presiden PKR, pengerusi PH, saya juga ketua pembangkang Parlimen.

“Maknanya jaringan hubungan kerja akrab seharusnya berlaku dengan semua pembangkang ini akan diteruskan.

“Ada kebijaksanaan PH kekal sebagai induk terkuat tapi tak menutup sama sekali kesediaan bina jaringan dengan yang sealiran dari segi dasarnya,” katanya, menyampaikan ucapan dasar presiden di Kongres PKR ke-16 di Shah Alam, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson bagaimanapun menegaskan PKR akan tetap teguh bersama komponen DAP dan Amanah dalam PH walaupun membina jalinan bersama pembangkang lain.

“Saya tak layan kenyataan banyak daripada Pejuang yang berdolak-dalik, itu kita sampingkan dan hadapi dengan tenang.

“PH itu berdiri sebelum ini dan akan tegak sehingga pilihan raya umum dan seterusnya. Saya beri jaminan kita akan tetap bersama DAP dan Amanah, dan Upko.

“Kita perkuatkan PKR dan bergerak bersama PH dan kita tentunya akan terus membina jaringan terutama dikalangan pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga dalam ucapannya berkata, sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain akan berteraskan prinsip utama parti itu. 

“Maka, sebarang bentuk kerjasama lain, terutama di pihak pembangkang mesti berteraskan prinsip-prinsip yang jelas, tidak semata ‘political expediency’.

“Kerjasama lain diterokai tanpa mengabaikan prinsip-prinsip tatakelola yang baik, menolak dan melawan rasuah, menegakkan negara hukum serta badan kehakiman yang bebas dari pengaruh badan eksekutif,” tambahnya.

Isu kerjasama dengan parti lain mula dibangkitkan selepas PH tewas beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bagaimanapun antara pimpinan yang lantang menolak idea gagasan tersebut.

Malah, beliau turut mencanangkan senarai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pilihannya dalam pengundian yang akan berlangsung hari ini, yang menurutnya menolak idea gagasan khemah besar untuk PRU15. – 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen