Tiada prinsip akan dikorbankan untuk khemah besar politik, kata Anwar


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Tiada prinsip akan dikorbankan untuk khemah besar politik, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2022.

MASIH berharap untuk ‘khemah besar’ politik untuk barisan pembangkang, Anwar Ibrahim berjanji yang Pakatan Harapan tidak akan mengorbankan prinsipnya demi kuasa.

“Sebarang bentuk kerjasama lain, terutama di pihak pembangkang mesti berteraskan prinsip-prinsip yang jelas, tidak semata ‘political expediency,” kata presiden PKR itu dalam ucapan dasarnya pada Kongres PKR Ke-16 di Shah Alam, hari ini.

“Kerjasama lain diterokai tanpa mengabaikan prinsip-prinsip tatakelola yang baik, menolak dan melawan rasuah, menegakkan negara hukum serta badan kehakiman yang bebas dari pengaruh badan eksekutif.

“Malah, atas prinsip-prinsip ini jugalah kami berikhtiar, serta atas prinsip-prinsip yang sama juga maka kami tidak bersedia untuk menggadaikannya untuk menghambat kuasa.

“Kerana prinsip-prinsip ini jugalah akhirnya ia menyukarkan laluan kita untuk mengembalikan mandat kepada PH,” kata pengerusi PH berusia 74 tahun itu.

Walaupun ramai mengadu yang PKR tidak mendapat jawatan perdana menteri, Anwar berkata mereka tidak akan mengorbankan perjuangan mereka demi jawatan.

“Usah ada yang melahirkan rasa gundah gulana dan kecewa. Malah kita lebih bersemangat lagi untuk mengembalikan mandat melalui PRU15,” tambahnya.

Pada ucapannya sebelum ini, Anwar menjelaskan yang beliau hampir menjadi perdana menteri tahun lepas tetapi tidak mahu bersetuju untuk menggugurkan beberapa kes korupsi terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Kongres PKR diadakan buat kali pertama secara bersemuka selepas 2019 di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2022.

Isu itu timbul awal bulan ini selepas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan yang Presiden Umno menandatangani deklarasi bersumpah untuk Anwar menjadi perdana menteri dalam cubaan menyingkirkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada Oktober 2020.

Tajudin yang bercakap selepas dipecat daripada Majlis Tertinggi Umno juga mengesahkan yang Anwar mempunyai sokongan mencukupi untuk menggantikan Muhyiddin.

Tetapi Anwar tidak berjaya meneruskan pelan tersebut kerana beliau tidak bersetuju untuk menggugurkan kes korupsi terhadap Najib.

Khemah besar politik untuk barisan pembangkang ditimbulkan sekali lagi selepas PH tewas kepada Barisan Nasional di dua pilihan raya negeri di Melaka dan Johor selepas undi pembangkang terpecah kepada PH dan Perikatan Nasional.  

Walaupun pemerhati politik merasakan pembangkang perlu bersatu semula bagi menolak BN pada pilihan raya umum akan datang, penyokong mereka kini terpecah dua selepas Bersatu diterajui Muhyiddin keluar daripada PH sekaligus menumbangkan kerajaan PH pada 2020.

Menariknya bagi Anwar dan PKR, pembantah khemah besar dalam partinya yang diketuai Timbalan Presiden baru dilantik Rafizi Ramli menang besar pada pemilihan parti kali ini.

Menjelang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat hari ini, Rafizi secara terbuka menggesa ahli parti memilih calon yang menolak idea khemah besar ini.

Kongres PKR diadakan secara bersemuka buat kali pertama sejak 2019 selepas pandemik Covid-19 tercetus pada 2020. – 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen