KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Paris untuk menangguhkan anugerah AS$14.92 bilion (RM62.5 bilion) yang akan dibayar kepada keturunan Kesultanan Sulu hanya terpakai kepada bidang kuasa Perancis, kata seorang peguam yang mewakili plaintif.
Paul Cohen, dari firma 4-5 Gray’s Inn Square, yang mewakili Nurhima Kiram Foran dan yang lain menentang kerajaan Malaysia berkata bahawa mereka akan terus cuba mengutip hutang melalui saluran undang-undang.
“Ia membawa beberapa ralat utama. Pertama, keputusan khusus Paris hanya mempengaruhi Perancis, di dalam negara,” kata Cohen kepada The Malaysian Insight.
Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan berkata Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan jumlah yang diberikan kepada keturunan Kesultanan Sulu.
Ini selepas mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion kepada waris Kesultanan Sulu susulan tuntutan yang dibuat oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa.
Terdahulu, Financial Times melaporkan bailif di Luxemborg telah menyita dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan sebagai sebahagian daripada pertikaian berterusan antara waris kesultanan Sulu dengan kerajaan.
Laporan itu menyebut bailif menyita pejabat Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus – dengan anggaran nilai bersih hampir RM9 bilion.
Bagaimanapun, menurut Cohen, final award adalah anugerah global, oleh itu, walaupun ia mungkin tidak dikuatkuasakan di Perancis, ia masih terpakai di 170 bidang kuasa lain melalui Konvensyen New York.
“Jadi, jika anda merujuk kepada tindakan kami di Luxembourg, pendirian anak guam kami ialah penangguhan Perancis domestik adalah tidak relevan kepada Luxembourg atau mana-mana daripada 170 negara yang menandatangani Konvensyen New York.
“Tindakan kami kekal tidak berubah, untuk mengutip hutang melalui saluran undang-undang yang betul,” tambah Cohen.
Apabila ditanya sama ada mereka telah memfailkan untuk mendapatkan semula aset dari mana-mana bidang kuasa lain, Cohen berkata beliau tidak boleh mendedahkan maklumat itu.
Konvensyen New York memastikan penguatkuasaan anugerah timbang tara asing di seluruh dunia.
Ia memerlukan negara berkontrak untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah timbang tara asing dengan cara yang sama seperti mereka melakukan untuk anugerah domestik, dengan pada dasarnya menukar award timbang tara asing kepada penghakiman yang boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah negara.
Putrajaya kini sedang membuat persiapan untuk pendengaran berhubung pembatalan final award, termasuk perintah rampasan terhadap dua unit Petronas.
Wan Junaidi berkata kerajaan akan terus mengambil semua langkah sewajarnya termasuk tindakan undang-undang untuk menamatkan semua tuntutan tersebut dan memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
Beliau berkata, berikutan tindakan undang-undang yang diambil oleh kerajaan, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara dan sebarang keputusan oleh Stampa, termasuk final award adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.
Wan Junaidi juga menambah bahawa kerajaan telah memfailkan prosiding jenayah terhadap Stampa kerana menghina mahkamah di Madrid. – 15 Julai, 2022.
Komen