MAHKAMAH Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award AS$14.92 bilion (RM62.5 bilion) kepada waris kesultanan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.
Pada Februari, mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion kepada waris Kesultanan Sulu susulan tuntutan yang dibuat oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa.
Semalam, Financial Times melaporkan bailif di Luxemborg telah menyita dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan sebagai sebahagian daripada pertikaian berterusan antara waris kesultanan Sulu dengan kerajaan.
Laporan itu menyebut bailif menyita pejabat Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus – dengan anggaran nilai bersih hampir RM9 bilion.

Lewat semalam, Petronas mengesahkan dua anak syarikatnya yang disita seperti dilaporkan itu telah menerima notis ‘Saisie-arret’ kelmarin.
“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan ini telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022.
“Petronas ingin menjelaskan kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya,” katanya.
Berikutan Perintah Penggantungan oleh Mahkamah Rayuan Paris itu, Wan Junaidi berkata kerajaan sedang membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award tersebut, termasuk juga penyitaan aset Petronas.
“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan mempastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.
Tambah Wan Junaidi, berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara.
“Apa-apa keputusan Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang,” katanya.
Tambah Wan Junaidi, prosiding jenayah terhadap Stampa juga telah difailkan oleh Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid.
“Prosiding bagi perkara ini masih berjalan,” katanya. – 13 Julai, 2022.
Komen