Waris kesultanan Sulu dilapor sita RM9 bilion aset Petronas


Peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion. – Gambar AFP, 12 Julai, 2022.

WARIS kesultanan Sulu menyita dua anak syarikat Petronas yang berdaftar di Luxembourg, menurut laporan Financial Times.

Bailif menyita pejabat Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus – dengan anggaran nilai bersih hampir RM9 bilion – sebagai sebahagian daripada pertikaian berterusan antara waris kesultanan itu dengan kerajaan.

Pada Mac, mahkamah timbang tara Perancis memutuskan Malaysia perlu membayar waris RM62.6 bilion kerana menyerahkan Sabah kepada kepentingan British pada 1878, yang kemudiannya diserahkan kepada Malaysia.

Kerajaan membayar pajakan tahunan kepada waris sebanyak RM5,300, tetapi memotong pembayaran ini berikutan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Petronas dan Wisma Putra, dan sedang menunggu maklum balas pihak mereka.

Sejurus selepas keputusan pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat yang Malaysia tidak akan mengiktiraf keputusan itu, memandangkan kuasa penimbang tara Gondoza Stampa dibatalkan.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah juga berkata kerajaan akan menghantar notis diplomatik ke 168 negara, meminta mereka memaklumkan Wisma Putra jika ada tuntutan serupa difailkan di bawah bidang kuasa masing-masing. – 12 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen