Rayuan ditolak, banduan rakyat Malaysia dihukum mati esok di Singapura


Elill Easwaran

Kalwant Singh antara banduan warga Malaysia yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman gantung sampai mati selepas terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2022.

MAHKAMAH Rayuan Singapura telah menolak permohonan akhir bagi menangguhkan hukuman mati terhadap banduan rakyat Malaysia Kalwant Singh.

Aktivis Singapura Kirsten Han memberitahu The Malaysian Insight pemuda berusia 32 tahun itu akan menjalani dihukum gantung sampai mati pada esok pagi di Singapura.

“Dia akan dihukum mati esok, kecuali kalau ada keajaiban besar berlaku,” katanya yang hadir di Mahkamah Rayuan Singapura hari ini.

Kalwant telah ditangkap oleh pihak berkuasa Singapura atas tuduhan berkaitan dadah pada 2013 dan sejak itu telah dipenjarakan di republik tersebut.

Kalwant disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura selepas perbicaraan bersama melibatkan pelbagai pertuduhan di bawah Akta Salah Guna Dadah kerana mengedar 120.9g diamorphine.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight sebelum ini, kakaknya, Kalwant Tarlochan Kaur, 40, berkata Kalwant dianggap sebagai ketua keluarga selepas pemergian bapa mereka.

“Saya seorang ibu tunggal dan anak-anak saya sentiasa memandang tinggi kepada Kalwant dan dia sentiasa ada untuk mereka tetapi kini dia tidak lagi di sisi kami,” katanya.

Hukuman matinya dibuat hanya beberapa bulan selepas hukuman gantung terhadap seorang lagi warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam pada April kerana kesalahan dadah.

Nagaenthran, 34, dihukum gantung walaupun telah memohon pengampunan kerana tidak ada kemampuan intelektual. Rayuan undang-undangnya pada saat-saat akhir telah ditolak.

Dia ditahan pada April 2009 dan dijatuhi hukuman gantung pada 2011 mengikut Akta Salah Guna Dadah kerana mengimport 42.7 gram diamorfin.

Sejak 2010, seramai 14 rakyat Malaysia telah dihukum mati di Singapura melibatkan 11 India, 2 Melayu dan seorang Cina.

Selepas hukuman mati terhadap Kalwant esok, lagi lapan banduan rakyat Malaysia akan dikenakan hukuman sama di republik itu. – 6 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen