Keluarga rayu banduan di Singapura jalani hukuman di Malaysia


Elill Easwaran

Angelia Pranthaman adik kepada banduan warga Malaysia, Pannir Selvam yang dijatuhi hukuman gantung, berkata amat sukar untuknya sekeluarga untuk melawat abangnya itu di Singapura. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Mei, 2022.

KELUARGA rakyat Malaysia yang dihukum gantung sampai mati di Singapura berharap insan tersayang mereka dapat meneruskan hukuman di Malaysia dan bukannya di ibu kota Singa itu.

Mereka berkata adalah sukar daripada segi kewangan untuk berulang-alik melawat insan tersayang, dan memulakan tindakan undang-undang di sana.

Keluarga berkenaan memberitahu The Malaysian Insight, mereka terpaksa menghabiskan masa berjam-jam ke Singapura melalui jalan darat, semata-mata mahu bertemu insan tersayang mereka itu selama kurang sejam.

Angelia Pranthaman, 28, adik kepada banduan warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman yang dijatuhi hukuman gantung, berkata adalah membebankan untuknya datang melawat.

“Sudah tentu ini adalah satu beban untuk berulang-alik ke sana tetapi apabila kami melihatnya, kami gembira,” katanya.

Pannir, 34, disabitkan kesalahan kerana mengedar heroin di Singapura pada 2017.

Dia gagal dalam rayuannya untuk memulakan bantahan terhadap hukuman gantung yang dijatuhkan terhadapnya.

Pannir diberikan penangguhan untuk pelaksanaan hukuman itu pada 2019 dan permohonan semakan kehakimannya ditolak Mahkamah Rayuan Singapura pada 2021.

Dalam rayuan itu, Pannir memaklumkan maklumat yang diberikannya kepada pihak berkuasa Singapura adalah penting untuk penahanan terhadap seorang lagi pengedar bernama Zamri Mohd Tahir, dan oleh itu harus diberikan sijil bantuan substantif.

Menurut Angelia, Pannir bekerja sebagai pegawai keselamatan di Singapura dan hanya terlibat dalam pengedaran dadah ketika dia berhenti sementara menunggu kerja baharunya.

“Dia menganggur hampir sebulan, dalam tempoh itu dia terlibat dalam kancah perjudian dan ketika itu dia bertemu dengan ramai individu yang tidak sepatutnya.

“Salah seorang lelaki yang ditemuinya berjaya memperdaya dan memaksanya membawa dadah dari Johor ke Singapura, itulah bagaimana Pannir ditangkap,” kata Angelia yang merupakan ejen insurans.

Angelia juga berkata Pannir ada melihat seorang lagi warga Malaysia, Nagaentran Dharmalingam yang turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Penjara Changi.

“Pannir selalu memberitahu saya Naegenthran sangat ganjil dari awal, dia akan merenung ke dinding selama berjam-jam.

“Pannir juga berkata Nagaentran juga akan mandi untuk masa yang lama,” katanya.

Kalwant Singh adalah antara banduan warga Malaysia yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman gantung sampai mati selepas terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2022.

Nagaenthran, 34, dihukum gantung pada 27 April lalu walaupun sudah memohon pengampunan kerana merupakan orang kurang upaya masalah pembelajaran. Rayuannya pada saat-saat akhir ditolak.

Dia ditangkap pada April 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Angelia berkata Pannir menulis dan mendedikasikan puisi kepada Nagaentran sejurus sebelum hukuman mati dijalankan.

Beliau menambah ketika lawatannya baru-baru ini abangnya juga menjelaskan tentang bagaimana semua banduan sangat terganggu selepas hukuman mati Nagaentran kerana ia dijalankan di tingkat yang sama, tidak terlalu jauh dari sel mereka, dan boleh didengari.

Kos perjalanan terlalu mahal

Sementara itu, adik kepada seorang lagi banduan warga Malaysia, Kalwant Singh yang turut dijatuhi hukuman gantung berkata walaupun menyedari jenayah abangnya, namun beliau tidak boleh menerima hukuman mandatori.

“Adalah lebih baik untuk kami membawanya kembali ke sini untuk meneruskan hukumannya di Malaysia.

“Adalah lebih mudah bagi kami untuk melawatnya dan juga ia akan lebih membantu daripada segi kewangan kerana perjalanan ke Singapura terlalu mahal,” kata Tarlochan Kaur, 40.

Tambahnya, Kalwant dianggap ketua keluarga selepas pemergian bapa mereka.

“Saya seorang ibu tunggal dan anak-anak saya sentiasa memandang tinggi kepada Kalwant dan dia sentiasa ada untuk mereka tetapi kini dia tidak lagi di sisi kami,” katanya.

Tarlochan, yang berasal dari Cameron Highlands, berkata keluarganya juga tidak tahu bagaimana hendak membantu abang mereka.

“Kami cuba sedaya upaya untuk mendapatkan bantuan daripada sesiapa yang sudi tetapi kami tidak tahu bagaimana untuk melakukannya selain melalui peguam kami.”

Menurutnya, Kalwant sangat rapat dengan Pannir dan juga Datchinamurthy Kataiah, seorang lagi rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman gantung. Hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Datchinamurthy didakwa menyeludup 44.96gm diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dijatuhi hukuman mati pada 2015. – 9 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen