Kes Covid-19 terus meningkat, kata pakar kesihatan


Raevathi Supramaniam

Peningkatan kes harian Covid-19 sejak empat minggu lalu memungkinkan Malaysia bakal mengalami gelombang kelima jangkitan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.

PENINGKATAN angka kes harian Covid-19 sejak empat minggu lalu mencetuskan kebimbangan yang Malaysia mungkin bakal mengalami gelombang kelima jangkitan itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata negara mungkin berdepan gelombang kelima, dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang, jika dilihat kepada trend jangkitan harian.

Khairy memberi amaran gelombang kelima tidak dapat dielakkan berdasarkan kepada jumlah kes harian meningkat daripada 1,000 kepada 2,000 kes sejak akhir-akhir ini.

Sejak bermulanya pandemik pada 2020, Malaysia merekodkan 4.57 juta kes, dengan 35,765 kematian.

Baru-baru ini, Malaysia melaporkan 11,052 kes dengan 26 kematian, menurut data minggu epidemiologi ke-22 iaitu 29 Mei hingga 4 Jun.

Minggu berikutnya, sebanyak 11,094 kes dilaporkan, peningkatan 0.4% dengan 25 kematian.

Kes untuk 12 Jun hingga 18 Jun meningkat 27.9% kepada 14,195 dengan 21 kematian.

Sepanjang tujuh hari kemudiannya, berlaku lagi peningkatan 10.9% apabila 15,739 kes dilaporkan.

Namun jumlah kematian terus berkurangan iaitu 13 kes.

Minggu lalu, Malaysia melaporkan 11,394 kes dengan 11 kematian.

Sepanjang tempoh gelombang keempat, Malaysia merekodkan angka jangkitan harian tertinggi apabila 33,406 kes dilaporkan pada 3 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.

Gelombang kelima

Dr Amar-Singh HSS berkata gelombang kelima akan melanda lebih awal daripada dijangkakan, berdasarkan kepada data sebelum ini.

“Gelombang keempat datang sangat cepat selepas gelombang ketiga, dalam tempoh empat minggu.

“Ada yang kata gelombang keempat disebabkan pergerakan orang ramai ketika tempoh Ramadan dan Hari Raya, dan ini menyebabkan penularan lebih cepat.

“Tetapi isu sebenarnya ialah, sekarang pun kita gagal memahami iaitu tidak ada angka yang selamat. Semua interaksi sosial di tempat kerja, premis pendidikan, rumah ibadat atau di mana saja mudah dieksploitasi oleh virus ini.

“Jangkitan tinggi dalam kalangan masyarakat sekarang, kebanyakannya tidak ada kaitan, menjadikan lonjakan bakal berlaku.”

Malaysia berdepan gelombang pertama Covid-19 dari 25 Januari hingga 16 Februari pada 2020.

Gelombang kedua berlaku antara 27 Februari, 2020 dan 30 Jun, 2020.

Gelombang ketiga bermula pada 8 September, 2020 hingg 24 Februari, 2021.

Pada 22 Jun, Malaysia berdepan jangkitan gelombang keempat. Sepanjang tempoh ini Malaysia merekodkan angka jangkitan harian tertinggi apabila 33,406 kes dilaporkan pada 3 Mac.

Amar berkata jika gelombang kelima tiba dalam tempoh terdekat, Malaysia tidak berada dalam keadaan terlalu baik.

“Unit rawatan rapi (ICU) kini penuh dan masih bergelut dengan kes Covid-19 sedia ada, dengan sebahagian pesakit masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Pekerja kesihatan mengalami keletihan yang kronik, bukan saja di hospital, tetapi semua sektor kesihatan awam dan pusat vaksinasi.

“Jika kita mengalami lonjakan baharu akibat varian Delta, sistem ada sedikit keupayaan untuk menampungnya.”

Kebanyakan kes dilaporkan di Malaysia berasal daripada varian Omicron.

Namun, varian Delta punca bagi dua gelombang jangkitan pertama, yang menyebabkan simptom dialami pesakit teruk dan kadar kematian tinggi. – 2 Julai, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen