Lagi rakyat Malaysia akan dihukum mati di Singapura minggu depan


Elill Easwaran

Banduan rakyat Malaysia, Kalwant Singh, dijadualkan untuk dihukum mati di Singapura pada 7 Julai depan, menurut kakaknya. – Gambar ihsan keluarga Kalwant, 30 Jun, 2022.

SEORANG lagi banduan warga Malaysia dijadualkan dihukum mati di Singapura pada 7 Julai 2022, kata keluarganya hari ini.

Kalwant Singh, 32, telah ditangkap oleh pihak berkuasa Singapura atas tuduhan berkaitan dadah pada 2013 dan sejak itu telah dipenjarakan di republik tersebut.

Hukuman matinya dibuat hanya beberapa bulan selepas hukuman gantung terhadap seorang lagi warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam pada April kerana kesalahan dadah.

Perkara ini disahkan oleh kakaknya, Kalwant Tarlochan Kaur, 40, kepada The Malaysian Insight.

“Sebab saya tinggal di Cameron Highlands, saya akan terbang ke Singapura esok.

“Pihak penjara hanya maklum kepada kami hari ini mengenai hukuman mati, jadi anak perempuan saya akan ke sana hari ini manakala saya akan ke sana esok,” katanya.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight sebelum ini, Tarlochan berkata Kalwant dianggap ketua keluarga selepas pemergian bapa mereka.

“Saya seorang ibu tunggal dan anak-anak saya sentiasa memandang tinggi kepada Kalwant dan dia sentiasa ada untuk mereka tetapi kini dia tidak lagi di sisi kami,” katanya.

Kalwant disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura selepas perbicaraan bersama melibatkan pelbagai pertuduhan di bawah Akta Salah Guna Dadah kerana mengedar 120.9g diamorphine.

Dia ditangkap ketika berusia 23 tahun.

Pada April Nagaenthran, 34, dihukum gantung walaupun telah memohon pengampunan kerana tidak ada kemampuan intelektual. Rayuan undang-undangnya pada saat-saat akhir telah ditolak.

Dia ditahan pada April 2009 dan dijatuhi hukuman gantung pada 2011 mengikut Akta Salah Guna Dadah kerana mengimport 42.7 gram diamorfin.

Sejak 2010, seramai 14 rakyat Malaysia telah dihukum mati di Singapura melibatkan 11 India, 2 Melayu dan seorang Cina.

Menurut laporan, sembilan lagi rakyat Malaysia, termasuk Kalwant, akan dihukum mati tidak lama lagi. – 30 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen