Naik nilai ambang bankrap tak selesai masalah muflis, kata pakar kewangan


Angie Tan

Pakar strategi kewangan Phua Lee Kirk berkata menaikkan nilai ambang bankrap sahaja tidak cukup kerana puncanya pelbagai, bukan setakat belia bankrap tetapi turut melibatkan ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2022.

MENAIKKAN nilai ambang kebankrapan tidak akan menyelesaikan masalah peningkatan bilangan golongan muda yang memfailkan insolvensi, kata pakar kewangan.

Mereka berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang Putrajaya akan mengkaji semula keperluan menaikkan ambang kebankrapan bagi mengelakkan lebih ramai generasi belia jatuh muflis.

Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) melaporkan seramai 274,628 individu di negara ini telah diisytiharkan muflis setakat Mei tahun ini.

Timbalan Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia Desmond Chong Kok Fei berkata terdapat trend yang membimbangkan berdasarkan data dari tiga tahun lepas.

“Membimbangkan apabila golongan muda akan muflis walaupun terdapat pelbagai bantuan kerajaan yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Putrajaya bercadang untuk meningkatkan ambang kebankrapan kepada RM100,000 daripada RM50,000.

Menurut MDI, kebanyakan yang diisytiharkan muflis berikutan gagal melunaskan hutang pinjaman.

MDI berkata Selangor mencatatkan jumlah kes muflis tertinggi dengan 72,608 diikuti Kuala Lumpur dengan 46,876.

Data menunjukkan kes kebankrapan paling banyak melibatkan pekerja sektor swasta dan ahli perniagaan yang berumur antara 35 dan 44 tahun.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, Putrajaya telah memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan untuk membantu memulihkan ekonomi dan membantu golongan berpendapatan rendah.

Ia juga membenarkan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.

Moratorium untuk tempoh enam bulan juga diperkenalkan untuk pembayaran balik pinjaman.

Ketua Strategi Phillip Capital Management Sdn Bhd Phua Lee Kirk berkata walaupun kerajaan meningkatkan nilai ambang kebankrapan, golongan muda masih akan memfailkan insolvensi setiap hari.

“Ekonomi masih belum pulih, ini bermakna peluang pekerjaan dan pendapatan sangat sedikit. Syarikat juga tidak menaikkan gaji,” kata Phua.

Beliau berkata mereka yang menyimpan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini juga akan melihat wang simpanan mereka semakin susut.

Selain kekurangan peluang pekerjaan dan pendapatan, rakyat kini terpaksa berdepan dengan peningkatan kos sara hidup dan ringgit yang semakin lemah, katanya.

“Bank pusat meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata kepada 2 peratus menjadi satu lagi tamparan.”

Walaupun kerajaan memutuskan untuk menghulurkan lebih banyak bantuan, ia masih tidak akan menyelesaikan kos sara hidup yang melambung tinggi ketika ini.

“Anda tidak boleh ada satu penyelesaian untuk muflis kerana masalahnya pelbagai. Ia bukan sahaja kebankrapan belia, tetapi juga ekonomi negara,” katanya.

Phua berkata keputusan kerajaan untuk menaikkan ambang kebankrapan adalah satu perkara yang baik kerana ia terlalu rendah.

Wong Chin Yoong, profesor ekonomi di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berkata menaikkan ambang itu hanyalah penyelesaian sementara.

“Meningkatkan ambang hanya bermakna mereka mengumpul lebih banyak hutang, tetapi tidak ada penyelesaian bagaimana mereka akan membayar balik,” kata Wong.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu memahami terlebih dahulu mengapa masalah ini wujud sebelum mereka mencari penyelesaian yang lebih jitu.

“Data menunjukkan sebab biasa muflis kerana pinjaman peribadi dan kereta.

“Jadi kita mesti bertanya mengapa terdapat begitu banyak pinjaman? Adakah lebih mudah sekarang untuk mendapatkan pinjaman? Adakah syaratnya terlalu ringan?”

Wong berkata jika Bank Negara Malaysia menaikkan semula OPR, kita akan melihat lebih banyak kes muflis kerana pemberian pinjaman akan meningkat dan keupayaan rakyat untuk membayar balik akan berkurangan.

“Mungkin peraturan mengenai pemberian pinjaman perlu diperketatkan. Tetapi jika kita berbuat demikian, adakah orang akan beralih kepada peminjam wang haram? Ini perlu dipertimbangkan.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran kewangan orang ramai.”

Sementara itu, Chong Kok Fee, profesor di Universiti Taylor berkata peningkatan ambang akan menjejaskan tiga kumpulan.

“Pertama, ia mungkin membawa kepada lebih banyak pemberi pinjaman kali pertama kerana ambang kini lebih tinggi. Kedua, peminjam sedia ada mungkin membuat lebih banyak pinjaman dan ketiga, mereka yang hampir muflis boleh menarik nafas lega,” kata Chong. – 1 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen