Kerajaan akan kaji naikkan nilai ambang bankrap, kata Ismail Sabri


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pernah menaikkan nilai ambang kebankrapan sewaktu pandemik dulu untuk menangguhkan undang-undang yang melibatkan kebankrapan dan nilai ambang dikaji semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Jun, 2022.

KERAJAAN akan mengkaji keperluan menaikkan kembali nilai ambang kebankrapan bagi mengelakkan lebih ramai generasi belia jatuh muflis, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 

Ahli Parlimen Bera itu berkata, pihaknya akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Gabenor Bank Negara Shamsiah Mohd Yunus berkaitan perkara itu.

“Saya juga bimbang melihat kepada jumlah yang ada ketika ini dan bimbang jika jumlah itu melonjak naik.

“Kerajaan pernah menaikkan nilai ambang kebankrapan sewaktu pandemik dulu untuk menangguhkan undang-undang yang melibatkan kebankrapan dan nilai ambang dikaji semula.

“Insha Allah saya akan berbincang dengan menteri undang-undang untuk melihat akta serta undang-undang tersebut dan saya juga akan berjumpa gabenor bank negara untuk melihat dari segi undang-undang jika boleh ditangguhkan lagi,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, petang tadi.

“Percayalah agenda anak-anak muda menjadi keutamaan kerajaan,” tambahnya.

Dalam ucapannya, naib presiden Umno itu turut berkata, kerajaan pimpinannya menyasarkan peluang pekerjaan sehingga 600,000 dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sehingga April 2022 menunjukkan, kadar pengangguran negara pertama kalinya turun di bawah 4% sejak pandemik Covid-19 melanda apabila merekodkan kadar 3.9%.

Sebagai perbandingan, tempoh sama pada 2021 menunjukkan rekod pengangguran sebanyak 4.6%. 

Rekod bilangan penganggur juga kekal pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut, kata Ismail Sabri.

Dianggarkan seramai 287,411 individu di negara ini diisytiharkan bangkrap, setakat Mac tahun ini dengan kebanyakannya dilapor terdiri dari kalangan anak muda. – 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen