PBB rayu AS$110 juta untuk mangsa gempa Afghanistan


Gempa pada Rabu lalu melanda paling teruk di Paktika yang mengorbankan lebih 1,000 orang. – Gambar EPA, 28 Jun, 2022.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata ia melancarkan rayuan kecemasan untuk membantu ratusan ribu orang di kawasan Afghanistan yang musnah akibat gempa bumi maut minggu lalu.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada Rabu lalu melanda paling teruk di wilayah miskin Paktika di timur, mengorbankan lebih 1,000 orang dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.

Agensi kemanusiaan PBB berkata ia dan rakan lain melancarkan rayuan untuk mendapatkan AS$110 juta dengan segera bagi membantu 362,000 orang untuk tiga bulan akan datang di kawasan paling teruk terjejas di wilayah Paktika dan Khost.

“Selain kematian dan kecederaan yang tragis, gempa bumi itu turut memusnahkan rumah, kemudahan kesihatan, sekolah dan rangkaian air, menyebabkan ribuan terdedah kepada bahaya selanjutnya,” kata jurucakap Jens Laerke kepada pemberita.

Beliau berkata rayuan yang dilancarkan pada Isnin adalah sebahagian daripada Pelan Tindak Balas Kemanusiaan keseluruhan tahun ini untuk negara miskin dan dilanda konflik itu.

Bagi ia direalisasikan sepenuhnya, sebanyak AS$4.4 bilion diperlukan, tetapi setakat ini hanya 34% berjaya ditaja, kata Laerke.

Katanya, program PBB terlalu kekurangan dana sehingga agensi itu dan rakan lain terpaksa meminjam bekalan dan kakitangan daripada program kemanusiaan lain untuk membantu tindak balas segera gempa bumi.

Jumaat lalu, ketua kemanusiaan PBB Martin Griffiths turut mengeluarkan AS$10 juta daripada Tabung Bantuan Kecemasan Pusat PBB untuk membantu meningkatkan sokongan. – AFP, 28 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen