Ikut saluran betul kalau tak puas hati, kata Zahid


Elill Easwaran

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata terpulang kepada akar umbi parti untuk menilai semua dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman terhadapnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Jun, 2022.

AHMAD Zahid Hamidi berkata beliau tidak tahu ada usaha untuk meminta presiden Umno itu melepaskan jawatan pada 2020 seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

“Kalau ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan kedudukan saya sebagai presiden parti mereka mesti ikut saluran yang betul.

“Kita mesti hormati perlembagan parti iaitu jika seseorang itu dipilih oleh perwakilan maka jika sesuatu permintaan itu mahu dilakukan, ia juga ada peraturan parti yang memboleh atau tidak membolehkan seseorang itu berada di sesuatu jawatan,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Dalam satu sidang media petang semalam, Tajuddin mendakwa sekumpulan pemimpin kanan Umno berkumpul di kediamannya pada Mei 2020 untuk mencapai kesepakatan memujuk Zahid berundur secara baik.

Antara pemimpin yang hadir adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, katanya.

Namun usaha itu katanya gagal disebabkan Mohamad dan Najib berpaling tadah.

Mengulas lanjut, Zahid berkata terpulang kepada ahli-ahli Umno sama ada untuk mempercayai semua dakwaan Tajuddin terhadapnya semalam.

“Bagi saya apa yang beliau katakan itu sama ada tidak benar atau terdapat sikit kebenaran, saya serahkan kepada ahli-ahli Umno terutamanya akar umbi untuk menilainya,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan komen ketika diminta mengulas dakwaan Tajuddin berkenaan akuan berkanun (SD) wakil rakyat Umno yang menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas kerajaan pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin digulingkan.

Tajuddin semalam mendedahkan Zahid telah menggerakkan usaha meraih sokongan wakil rakyat parti itu untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Katanya Zahid bermasam muka apabila beliau enggan menandatangani SD bagi menyokong Anwar yang merupakan presiden PKR menjadi perdana menteri.

Beliau kemudian terpaksa menandatangani  SD itu selepas Zahid memujuknya selama empat kali bagi usaha itu yang disebutnya sebagai jajaran baharu Umno.

“Isu jajaran baru, (konon katanya) ‘no Anwar’, ‘no DAP’... Saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangani nak sokong Anwar jadi perdana menteri, dan surat dihantar kepada istana.

“Saya digesa, tapi saya tak nak. Akhirnya tandatangan jugalah (kerana) sampai nak bermasam muka,” kata Tajuddin kepada pemberita.

Tajuddin digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu lepas, yang menurut Zahid dilakukan kerana sering mengkritik pemimpin parti.

Beliau seterusnya dilantik sebagai duta besar ke Indonesia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada perhimpunan agung Umno Mac lalu Zahid menegaskan pendirian MKT Umno untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15. 

Awal hari ini, Pengerusi DAP Lim Guan Eng hari ini berkata beliau tidak tahu mengenai SD tersebut.

Pendedahan Tajuddin katanya itu tidak relevan dengan masalah yang sedang membelenggu rakyat.

“Saya rasa ia tidak relevan dengan masalah yang negara sedang hadapi seperti inflasi dan kenaikan harga. Jadi biarlah rakyat melihat sendiri pihak yang kini berbalah demi kepentingan peribadi masing-masing.

“Tumpuan kami sekarang lebih kepada usaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat, bagaimana memerangi rasuah, bagaimana orang yang terlibat dalam rasuah boleh dihukum dan bukannya orang yang melawan rasuah dihukum,” katanya. – 28 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen