Pendedahan Tajuddin tak relevan dengan masalah rakyat, kata Guan Eng


Elill Easwaran

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata beliau tidak pernah melihat akuan bersumpah yang ditandatangani wakil rakyat Umno untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seperti yang disebut oleh Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media petang semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2022.

LIM Guan Eng hari ini berkata beliau tidak tahu mengenai usaha meraih sokongan wakil rakyat Umno untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seperti yang didedahkan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman semalam.

Lagipun pendedahan Tajuddin itu tidak relevan dengan masalah yang sedang membelenggu rakyat, kata pengerusi DAP itu.

“Saya rasa ia tidak relevan dengan masalah yang negara sedang hadapi seperti inflasi dan kenaikan harga. Jadi biarlah rakyat melihat sendiri pihak yang kini berbalah demi kepentingan peribadi masing-masing.

“Tumpuan kami sekarang lebih kepada usaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat, bagaimana memerangi rasuah, bagaimana orang yang terlibat dalam rasuah boleh dihukum dan bukannya orang yang melawan rasuah dihukum,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Lim juga berkata beliau tidak pernah melihat akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani wakil rakyat Umno untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri seperti yang disebut oleh Tajuddin dalam sidang media petang semalam.

“Saya tak pernah tengok mana-mana SD, jadi saya tak tahu. Kena tanya Umno sendiri kalau hendak tahu,” ujarnya.

Pada sidang media petang semalam, Tajuddin mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menggerakkan usaha meraih sokongan wakil rakyat parti itu untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Katanya Zahid bermasam muka apabila beliau enggan menandatangani SD bagi menyokong Anwar yang merupakan presiden PKR menjadi perdana menteri.

Beliau kemudian terpaksa menandatangani  SD itu selepas Zahid memujuknya selama empat kali bagi usaha itu yang disebutnya sebagai jajaran baharu Umno.

“Isu jajaran baru, (konon katanya) ‘no Anwar’, ‘no DAP’... Saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangani nak sokong Anwar jadi perdana menteri, dan surat dihantar kepada istana.

“Saya digesa, tapi saya tak nak. Akhirnya tandatangan jugalah (kerana) sampai nak bermasam muka,” kata Tajuddin. 

Tajuddin digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu lepas, yang menurut Zahid dilakukan kerana sering mengkritik pemimpin parti.

Beliau seterusnya dilantik sebagai duta besar ke Indonesia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada perhimpunan agung Umno Mac lalu Zahid menegaskan pendirian MKT Umno untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – 28 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen