Teater Parastoo medan pelarian luah emosi


Elill Easwaran

Saleh Sepas (kanan) menubuhkan kumpulan teater Parastoo khusus untuk pelarian di Malaysia meluahkan emosi mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2022.

SETAHUN selepas melarikan diri dari ancaman Taliban di Afghanistan, Saleh Sepas menubuhkan kumpulan teater khusus untuk pelarian di Malaysia meluahkan emosi secara kreatif.

Bekas pengarah radio BBC itu memberitahu The Malaysian Insight beliau memulakan kumpulan teater Parastoo pada 2017 bukan sahaja untuk mengembangkan bakatnya sebagai penulis, tetapi juga untuk membantu pelarian di negara ini.

Saleh yang tiba di Malaysia pada 2016 berkata beliau terpaksa melarikan diri dari Afghanistan kerana menjadi sasaran Taliban ekoran sering bersuara mengenai hak asasi manusia dan pendidikan.

“Mereka sasarkan saya, dan keadaan bertambah serius apabila mereka merampas semua harta dan menyasarkan keluarga saya pula,” katanya.

Kata Saleh, kumpulan teaternya diberi nama ‘Parastoo’ bermaksud burung dalam bahasa Parsi, sesuai dengan situasi yang dialami komuniti pelarian yang sentiasa berpindah-randah seperti haiwan itu.

Menurutnya, Parastoo ditubuhkan sebagai platform untuk pelarian menterjemah emosi di atas pentas dan menceritakan pengalaman berada di dalam situasi konflik.

“Pelarian sering alami masalah kesihatan mental dan kemurungan. Jadi kami cuba beri sokongan melalui seni.

“Ketika kami bermula pada 2017, kebanyakan pelarian ini mengalami kemurungan hingga ada yang mahu membunuh diri. Berbeza dengan  sekarang, mereka lebih gembira,” kata Saleh yang berusia 39 tahun.

Saleh Sepas tiba di Malaysia pada 2016, selepas melarikan dari ancaman Taliban di Afghanistan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2022.

Tambah beliau, Parastoo juga ditubuhkan untuk merapatkan jurang antara rakyat tempatan dan pelarian.

“Semasa saya baru sampai di Malaysia pada 2016, keadaan saya sangat teruk, tiada kerja dan duit. Saya tubuhkan Parastoo kerana tak mahu pelarian lain lalui situasi yang sama,” katanya, menambah persembahan kumpulan teater itu antara lain berkisar tentang isu-isu masyarakat.

“Teater terakhir kami ‘Scream in Silence’ misalnya mengenai perkahwinan bawah umur.

“Ia mendapat sambutan hangat di mana kami berjaya menarik 6,000 penonton melalui 22 persembahan,” kata Saleh.

Ujarnya lagi, selepas setiap kali membuat persembahan mereka akan berinteraksi dengan penonton supaya sesuatu isu yang diketengahkan lebih mudah difahami.

“Dengan cara ini semua orang yang menonton persembahan kami juga terlibat dalam usaha mengubah masyarakat menjadi lebih baik.”

Saleh berkata Parastoo mempunyai 20 ahli tetap, kesemuanya pelarian dari Afghanistan, Syria dan negara lain.

Kumpulan teater itu juga disertai beberapa rakyat tempatan sebagai sukarelawan dalam persembahan mereka.

Salah seorang pelakon Parastoo, Farzana Yakta, 20, berasal dari Afghanistan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Jun, 2022.

Kuasa seni

Parastoo sentiasa menerima maklum balas positif daripada penonton, kata Saleh.

“Orang ramai kebiasaannya memandang rendah terhadap pelarian, kami dianggap tidak bijak dan tiada kemahiran. Tetapi pandangan mereka berubah selepas melihat sendiri hasil kerja Parastoo, dan mereka memuji usaha kami. Inilah yang dinamakan kekuatan seni,” katanya.

Tambahnya, hasil jualan barang dagangan (merchandise)dan tiket Parastoo digunakan untuk membayar sewa, pengangkutan dan pemasaran.

Pelakon utama Parastoo berasal dari Afghanistan, Farzana Yakta, 20, berkata penyertaannya sebagai salah seorang anggota kumpulan itu membuatkan beliau berasa yakin cita-citanya untuk menjadi seorang aktivis hak wanita semakin hampir.

“Saleh adalah abang ipar saya. Dialah yang mempelawa saya untuk sertai Parastoo.

“Saya ragu-ragu juga pada mulanya tetapi saya semakin mahir selepas banyak kali berlatih,” kata gadis itu.

Farzana yang menyertai Parastoo sejak 2017 berkata, watak yang dilakonkan dalam setiap persembahan adalah berdasarkan pengalaman yang pernah dilaluinya.

“Ini membantu saya untuk lebih mendalami watak dan meluahkan emosi, lebih-lebih lagi sebagai pelarian saya menghadapi banyak diskriminasi,” ujarnya. – 28 Jun, 2022.     

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen