Event 201: Apakah satu konspirasi?


Hishamuddin Rais

SEMUA ini berlaku ketika ustaz kita sibuk dengan khurafat di Gunung Jerai. Sibuk tentang kisah Nabi Adam dibuang dari syurga tercampak ke Gunung Jerai, Kedah.

Perkara ini juga berlaku ketika ustaz kita mengeluarkan pendapat di Youtube tentang hukum halal, haram atau makruh terusik kemaluan sang isteri ketika dalam bulan puasa.

Perkara ini juga berlaku ketika Ismail Sabri di Tokyo. Perkara ini berlaku ketika Zuraida letak jawatan sebagai menteri. Perkara ini berlaku ketika warga maya sedang heboh dengan gambar seorang perempuan Melayu memaut manja lengan Najib. Perkara ini terjadi ketika warga maya di Malaysia sedang heboh berceloteh tentang gambar seorang Mak Janda.

Apakah perkara yang sedang berlaku dalam rantaian jangka masa semua ini?

Biar saya nyatakan di sini: satu konspirasi telah berlaku ketika ustaz kita heboh dengan soalan terusik kemaluan isteri pada bulan puasa. Apabila saya menulis konspirasi maka ramai akan bertanya apa dia konspirasi itu.

Perkataan konspirasi ini menjadi “hot” pada tahun 1998. Ini ketika krisis ekonomi berlaku dan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri kerajaan Mahathir, telah ditangkap atas tuduhan meliwat pemandu keretanya.

Penangkapan Anwar dibaca sebagai satu konspirasi. Nama-nama seperti Aziz Shamsuddin, Megat Junid muncul sebagai watak-watak terlibat dalam konspirasi. Ini mengikut pandangan penyokong Anwar Ibrahim.

Apa sebenarnya konspirasi?

Konspirasi ialah pertemuan sosok-sosok atau kumpulan untuk merancang dan membuat sesuatu. Ada rancangan baik, ada rancangan jahat. Konspirasi ini dikaitkan dengan yang jahat. Mereka berkumpul berbincang dan merancang untuk membuat sesuatu.

Perbincangan ini ada yang tersurat, banyak yang tersirat. Yang tersurat dilapor untuk umum di media. Tetapi ada banyak yang tersorok gelap. Manakala laporan media digunakan untuk menjadi pengabur kepada pembaca dan orang ramai.

Maknanya yang tersurat dapat dibaca. Yang tersirat tak ada siapa yang tahu. Biar saya paparkan rakaman sejarah untuk memahami contoh-contoh konspirasi.

Dari fakta sejarah kita membaca Tunku Abdul Rahman telah pergi ke London. Dia bertemu dengan David Rees. Davis Rees ialah Setiausaha Tanah Jajahan Britain dalam kerajaan Konservatif di bawah Perdana Menteri Anthony Eden (1897-1977).

David Rees pula memperkenalkan Tunku dengan Oliver Lyttelton. Sosok ini seorang pemodal dan juga pemegang jawatan kabinet dalam kerajaan British.

Benggolan-benggolan ini berkonspirasi untuk mengalahkan perjuangan rakyat Tanah Melayu yang mengangkat senjata menentang penjajah British. Mereka berkonspirasi untuk mengalahkan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya.

Mereka berkonspirasi hendak mematahkan perjuangan Rashid Maidin, Abdullah Sidi, Shamsiah Fakeh dan para nasionalis Melayu.

Konspirasi juga telah dilakukan oleh Tunku bersama Kolonel H.S Lee dan Tan Cheng Lock. Konspirasi mereka telah mengubah demografi Tanah Melayu. Mereka berkonspirasi untuk  menerima pendatang China menjadi warga negara Tanah Melayu. Apa yang mereka persetujui dalam gelap ini tanpa apa-apa rujukan kepada orang Melayu pada ketika itu?

Hasil konspirasi Tunku dengan kuasa kolonial  Inggeris dan para cukong dilapor dalam suratan media sebagai – Merdeka. Babak ini membawa bala dan mengakibatkan malapetaka yang kita semua hadapi hingga ke hari ini.

Ini contoh konspirasi lama. Konspirasi ini kini menjadi babak rakaman sejarah. Saya gunakan sebagai contoh untuk memahami apa itu konspirasi.

Konspirasi terbaru yang sedang berlaku ini memiliki garis masa yang sama dengan politik Zuraida, dengan gambar Mak Janda dan ketika Ismail Sabri di Jepun.

Sebelum saya membuka kisah konspirasi baru ini biar saya buka satu lagi fakta sejarah yang mungkin akan dilupakan. Atau sengaja mahu dipadamkan dari sejarah.

Ini konspirasi virus dari Wuhan. Satu dunia telah mengalami malapetaka dari Virus Wuhan. Malah kita di Malaysia baru saja membatalkan PKP – Perintah Kawalan Pergerakan. Pada 1 April 2022 kita mansuhkan PKP setelah lebih 80 peratus warga kecil besar tua dan muda disuntik dengan vaksin – produk dari pelbagai syarikat pembuat ubat.

Walaupun tanpa PKP kita masih lagi diserang oleh Omicron. Virus Omicron jenis baru ini tidak seganas virus Delta yang meragut nyawa.

Perkara yang hendak saya tulis ini telah lama terpendam dalam hati. Telah lebih dua tahun saya simpan. Apabila muncul berita Virus Wuhan di awal Januari 2020 saya telah menyimpan – menahan diri – daripada menulis tentang perkara ini.

Saya memiliki janji pada diri sendiri untuk menyebar pencerahan tanpa segan dan silu. Tanpa takut dan tanpa pura-pura. Perjanjian  dengan diri sendiri ini menjadi pegangan falsafah hidup.

Tetapi apabila Virus Wuhan merebak saya berperang dengan diri saya sendiri. Apakah saya wajib memaparkan fakta ini kepada umum demi pencerahan? Apakah babak dan berita yang akan saya tulis ini membawa kecelaruan ketika kita menghadapi Virus Wuhan?

Apakah saya menjadi sosok dan warga yang tidak bertanggung jawab jika saya bukakan berita konspirasi ini kepada umum ketika kita semua dalam bahaya Covid-19?

Justeru apabila serangan Virus Wuhan ini semakin mereda maka rasa saya adalah masa yang sesuai untuk saya menulis perkara ini.

Faktanya begini: Saya yakin bahawa Virus Wuhan ini menetas atau dieramkan dalam bilik makmal biologi di Wuhan. Fakta menunjukkan bahawa dana dari Amerika ada membantu sama untuk menetaskan virus ini.

Anthony Fauci dari NIAID, pengarah penyakit berjangkit dan juga penasihat untuk Presiden Trump, tahu hal ini. Untuk menyedapkan cerita Si Fauci ini sendiri memiliki saham dalam syarikat yang membuat kajian tentang virus kelawar ini di Amerika dan di Wuhan

Bagaimana virus kelawar ini merebak dari bilik makmal masih menjadi tanda tanya. Penguasa China telah melupuskan semua data dan bahan bukti. China telah melarang badan dan penyelidik luar datang menyiasat.

Apa yang menjadi tanya dan menimbulkan teori bahawa wujud satu konspirasi pandemik ini ialah  Event 201. Apa yang berlaku di Event 201 ini adalah asap senapang sebagai bahan bukti.

Mari kita lihat kembali garis masa merebaknya Virus Wuhan ini. Pada 31 Disember 2019 virus ini telah menetas dan menyerang penyelidik yang bekerja di makmal. Pada 7 Januari WHO (Badan Kesihatan Dunia) diberitahu tentang virus ini. Pada 11 Mac, WHO umum pandemik untuk seluruh dunia.

Apa sangkut paut garis masa Virus Wuhan ini dengan Event 201?

Event 201 ini di adakan di John Hopkins University di Amerika. Ada 15 syarikat perniagaan gergasi, syarikat pembuat ubat, pakar penyakit merebak, sosok menjaga dana dan pelaburan, malah para biologi dari Wuhan juga turut hadir.

Mereka berseminar, berbincang, dan membuat raptai dan simulasi yang mereka sedang berhadapan dengan pandemik. Mereka juga berlatih dan menyusun ayat dan mengatur ucapan untuk berhadapan dengan media dalam hal pandemik.

Apa yang menimbulkan was-was dan curiga terhadap Event 201 ini ialah ia dijalankan pada 18 Oktober 2019.

Saya ulangi tarikhnya – 18 Oktober 2019.

Virus Wuhan hanya ditemui pada 31 Disember 2019. Dua bulan sebelum Virus Wuhan merebak ke luar sempadan China, Event 201 telah membuat simulasi serangan pandemik virus.

Event 201 ini ditaja oleh Yayasan Bill & Melinda Gates dengan kerjasama Davos World Economic Forum (WEF) dan John Hopkins Center for Health and Security.

Soalan timbul – apakah Bill Gates seorang bilionair telah tahu dua bulan lebih awal bahawa satu pandemik akan meledak? Justeru mereka semua telah bersiap sedia untuk berhadapan dengan media.

Pada 12 April 2020 Bill Gates telah ditanya tentang Event 201 di mana dia telah melakukan raptai dan simulasi dunia di serang oleh pandemik Covid 19.

Bill Gates menafikan Event 201 pernah berlaku. Saya pungut kata-kata Bill Gates dari rakaman BBC: “Now here we are. We didn’t simulate this, we didn’t practice, so both the health policies and economic policies, we find ourselves in uncharted territory.”

Saya baru menimbulkan perkara ini pada tahun 2022 kerana seperti saya nyatakan awal tadi saya tidak mahu menimbulkan keraguan terhadap langkah suntikan vaksin yang sedang dijalankan oleh kerajaan.

Pada hemat saya jika saya bangkitkan perkara Event 201 pada tahun 2020 saya akan dituduh anti-vaksin. Ini tidak membawa apa-apa manfaat kepada saya dan juga kepada orang ramai.

Justeru setelah memahami Event 201 mari kita kembali kepada konspirasi terbaru.

Konspirasi ini berlaku di Davos, Switzerland pada minggu akhir bulan Mei 2022. Sekali lagi nama World Economic Forum (WEF) muncul. Ketika raptai dan simulasi Event 201 dulu WEF telah bekerjasama dengan Yayasan Bill Gates. Kali ini di Davos, WEF adalah tuan rumah dan penganjur.

World Economic Forum ini ditubuhkan pada tahun 1971 oleh Professor Klaus Schwab yang kini menjadi pengarah WEF. Beribu pejabat di Cologny, Switzerland. WEF adalah badan antarabangsa yang ada hubungan rapat dengan kerajaan, syarikat swasta, sosok-sosok bilionair terkaya di dunia dan juga NGO.

WEF menjadi tuan rumah dan menganjurkan forum untuk mengumpul pertemuan sosok pembuat dasar politik dan dasar ekonomi dalam kerajaan dengan pemilik syarikat multinasional  yang membuat dasar ekonomi dalam syarikat swasta dari seluruh dunia. Badan NGO juga ada dijemput sama.

Tujuan pertemuan dan forum perbincangan di Davos ini  bertujuan untuk memastikan pandangan dan dasar ekonomi, politik dan sosial yang diajukan dapat dibincangkan. Rumusan dari pertemuan WEF ini akan dijadikan dasar untuk diguna pakai oleh kerajaan dan swasta.

WEF menjalinkan hubungan erat antara kerajaan dengan pihak swasta.

Tahun 2021 ketika Virus Wuhan sedang  mengamuk WEF muncul dengan agenda Reset – atau Set Semula. Projek Set Semula ini akan mengubah suai semua yang kita tahu sekarang.

Forum terakhir WEF di Davos yang baru selesai   Mei 2022 lalu mahu meneruskan dengan agenda Set Semula tahun 2021.

Salah satu agenda ‘gelap Set Semula’ yang dirumuskan ialah memberi takrifan baru terhadap pandemik untuk WHO. Penyakit merebak dan membawa jumlah maut yang banyak akan ditakrif sebagai pandemik.

Kali ini WEF telah merumuskan kepada WHO bahawa pandemik hanya penyakit berjangkit yang berpotensi merebak. Jumlah kematian tidak lagi diambil kira untuk memberi definisi apa itu pandemik.

Apakah ini satu konspirasi? Pencerahan belum selesai lagi. Kita tunggu perkembangan seterusnya. – 27 Jun, 2022.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen