20 remaja ditemui maut di kelab malam Afrika Selatan, lapor polis


Jurucakap polis wilayah Brigedier Thembinkosi Kinana berkata mangsa berusia antara 18 hingga 20 tahun. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 20 remaja ditemui maut di sebuah kelab malam di bandar East London,  Afrika Selatan hari ini, kata polis.

“Kami mendapat laporan mengenai 20 (remaja) maut di kedai minuman tempatan di Scenery Park yang terletak di East London,” kata jurucakap polis wilayah Brigedier Thembinkosi Kinana kepada AFP.

“Kami masih menyiasat keadaan sekitar kejadian itu,” tambahnya.

Katanya, mangsa berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Pegawai jabatan keselamatan dan komuniti wilayah Eastern Cape, Unathi Binqose, yang bercakap di tempat kejadian, menolak rempuhan sebagai punca kematian.

“Adalah sukar untuk mempercayai ia adalah rempuhan kerana tidak ada luka yang kelihatan ke atas mangsa,” kata Binqose kepada AFP melalui telefon.

Akhbar tempatan, DispatchLive, melaporkan “mayat bergelimpangan di atas meja, kerusi dan lantai; tanpa tanda-tanda kecederaan yang jelas”.

Gambar yang tidak disahkan dikongsi di media sosial menunjukkan mayat tanpa kecederaan yang kelihatan, bergelimpangan di lantai kelab.

Televisyen tempatan menunjukkan pegawai polis cuba menenangkan ibu bapa dan pemerhati yang berkumpul di luar kelab di bandar itu

“Ibu bapa yang anaknya tidak tidur di rumah berkumpul di sini dan mereka mahu masuk ke kedai untuk mencari insan tersayang,” kata Binqose.

Binqose berkata beliau difahamkan pengunjung adalah pelajar yang menyambut “pens down” pesta sempena berakhirnya peperiksaan bertulis (sekolah menengah). – AFP, 26 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen