PBB mahu Putrajaya teliti semula dasar pelarian 


Elill Easwaran

MALAYSIA perlu meneliti semula dasarnya mengenai pelarian, terutamanya mengenai cara mereka dilayan di sini, kata Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Thomas Andrews hari ini.

“Perlu ada kesediaan daripada pihak berkuasa untuk membincangkan dasar mengenai cara pelarian dilayan dan kita memerlukan lebih banyak ketelusan di sini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Tambahnya, perlu ada langkah yang diambil bagi membolehkan kemajuan dicapai ke arah keadilan dan maruah bagi pelarian ini.

“Saya fikir adalah sangat penting bagi pihak berkuasa tempatan di sini untuk bekerjasama dengan UNHCR untuk membuat dasar ini jelas dan diselaraskan.

“Perlu juga ada tahap ketelusan antara kerajaan dan juga organisasi seperti UNHCR.

“Sebagai contoh sejak 2019, UNHCR telah dinafikan akses ke pusat tahanan ini dan keluarga mereka yang ditahan tidak mempunyai akses kepada saudara mereka.

“Saya bercakap dengan seorang pelarian yang abangnya telah ditahan selama enam bulan. Dia tidak tahu keadaannya dan bila atau sama ada dia akan dibebaskan,” katanya.

Thomas menambah beliau dimaklumkan bahawa pelarian Rohingya dalam tahanan berkemungkinan untuk ditahan selama-lamanya kerana mereka tidak ada negara.

“Saya sangat bimbang dengan laporan bahawa ratusan pelarian mungkin berada di fasiliti ini, termasuk kanak-kanak.”

Menurutnya, pelarian yang bercakap dengannya di Malaysia mendakwa mereka digertak sehingga salah seorang daripada mereka turut dipukul polis.

“Setelah mendengar cerita-cerita ini, nampaknya saya amat penting bagi Malaysia untuk mengkaji semula dasar mereka atau sebarang amalan terhadap pelarian di sini.”

Awal minggu ini, Naib Presiden Umno Khaled Nordin menyeru kerajaan untuk mengiktiraf hak asasi pelarian yang tinggal di sini, dan menyatakan ia selaras dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Bekas menteri besar Johor itu berkata pelarian di Malaysia sepatutnya mempunyai akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dan kebebasan untuk bergerak dengan selamat, menyifatkan ini sebagai hak asasi manusia.

“Marilah kita menguatkan iltizam untuk menjamin hak-hak dan maruah mereka dihormati,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sehingga akhir Mei 2022, UNHCR Malaysia melaporkan terdapat kira-kira 182,960 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan mereka di Malaysia.

Kira-kira 67 peratus daripada pelarian dan pencari suaka ini adalah lelaki, manakala 33 peratus adalah wanita.

Tambahan pula, terdapat kira-kira 46,570 pelarian dan pencari suaka di bawah umur 18 tahun. Malaysia tidak mempunyai rangka kerja undang-undang yang berkesan untuk menghalalkan dan melindungi pelarian di dalam sempadannya. – 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen