Undi anak Selangor tidak semurah '20 sen', kata Pakatan


Nabihah Hamid

Semalam, Pengerusi BN Selangor Noh Omar berkata, pengguna tidak sepatutnya dikenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik, seperti yang dikuatkuasa oleh kerajaan pimpinan PKR di Selangor. Sebaliknya pengguna yang membawa beg plastik sendiri sepatutnya diberi bayaran 20 sen untuk memberi kesedaran mengenai bahayanya kepada alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2018.

UNDI rakyat Selangor bukannya semurah 20 sen sehingga boleh terpengaruh dengan janji pembangkang untuk memberi ganjaran kepada pengguna yang mengguna beg plastik sendiri bagi membeli-belah, kata wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Exco Negeri Selangor, Elizabeth Wong berkata, tawaran yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN)  Selangor Noh Omar itu juga menunjukkan menteri berkenaan tandus idea untuk menarik sokongan pengundi negeri itu.

“Rakyat Selangor rakyat yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak mudah terpengaruh dengan sogokan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

“Pembangkang Umno/BN Selangor terus menghina kebijaksanaan rakyat negeri dengan janji-janji yang regresif dan mengarut. Mereka menganggap undi anak-anak Selangor boleh dibeli semurah 20 sen.

“Anak-anak Selangor mampu menilai. Umno bakal dihukum sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau mengulas kenyataan Noh yang berkata, pengguna tidak sepatutnya dikenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik, seperti yang dikuatkuasa oleh kerajaan pimpinan PKR di Selangor.

Kata Noh, dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor itu didakwa hanya menyusahkan rakyat dan menguntungkan sesetengah pihak sahaja, lapor Sinar Harian. 

“Setiap kali membeli barangan, pembeli dikenakan caj 20 sen sekiranya ingin mendapatkan beg plastik.

“Malah, caj ini tidak termasuk dalam resit pembeli dan ia menimbulkan tanda tanya ke mana perginya duit itu,” katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian semalam.

Menurut menteri itu, pengguna yang membawa beg plastik sendiri sepatutnya diberi bayaran 20 sen untuk memberi kesedaran mengenai bahayanya kepada alam sekitar. 

Kajian semula ke atas dasar penggunaan beg plastik itu merupakan salah satu manifesto BN negeri itu dalam usahanya menawan kembali negeri ini pada PRU14.

Mengulas perkara itu, Wong menegaskan, Malaysia sebagai anggota PBB harus lebih serius menangani isu alam sekitar. 

“Beberapa buah negeri yang ditadbir BN seperti Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor mula memainkan peranan mengurangkan penggunaan plastik dan bekas polistrena, (tetapi) pembangkang Selangor masih masih buta dan kolot pemikiran,” katanya lagi. 

Kini ramai Adun ada berikan beg kitar semula kepada penduduk, sekarang semua orang dah ada beg untuk barang dapur, kata Senator Hannah Yeoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2018.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Negeri Selangor Hannah Yeoh berkata BN Selangor tidak memahami polisi yang diperkenalkan yang berperanan untuk mendidik masyarakat Selangor. 

Selangor juga katanya telah membuat pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyatnya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dia langsung tak faham kenapa polisi ini diperkenalkan. Kena baca dan belajar sekarang. Bukan ceramah cakap sebarangan. 

“Kini ramai Adun ada berikan beg kitar semula kepada penduduk. Sekarang semua orang dah ada beg untuk barang dapur,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Sementara itu Adun Ulu Kelang, Saari Sungib menjelaskan caj 20 sen yang dikuatkuasa kerajaan Selangor merupakan penalti bagi pengguna dan mendidik mereka mengenai penggunaan plastik beg. 

“Orang semakin tahu kepentingan mengurangkan penggunaan beg plastik. Sekarang ramai juga pakai beg kertas. Mereka sudah terdedah dengan kepentingan menjaga alam sekitar.

“Maka BN Selangor hanya memalukan diri sendiri dengan berkata sedemikian,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Bagi Adun Sekinchan, Ng Suee Lim pula, BN mengeluarkan kenyataan populis itu kerana terdesak untuk melakukan apa sahaja untuk merampas Selangor.

“BN Selangor dah bersungguh-sungguh untuk merampas Selangor. Mereka kena tengok Melaka juga (ditadbir kerajaan) BN dan mereka laksanakan (dasar penggunaan beg plastik dengan baik).” 

Pasar raya di Melaka dibenarkan mengenakan caj sebanyak 20 sen kepada pengguna tetapi terhad kepada pembungkus alternatif seperti kotak, beg kertas atau beg bioplastik yang diperbuat daripada tumbuhan yang mudah terurai.

Pasar raya itu juga hanya dibenarkan membekal atau menjual pembungkus alternatif tersebut.  – 19 Februari, 2018.

Adun Ulu Kelang, Saari Sungib menjelaskan caj 20 sen yang dikuatkuasa kerajaan Selangor merupakan penalti bagi pengguna dan mendidik mereka mengenai penggunaan plastik beg. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen