SEJUMLAH AS$61 juta dan £9.46 juta telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di AmBank antara 2013 dan 2014, kata seorang pegawai kanan bank kepada mahkamah dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung hari ini.
Wedani Senen, pengurus unit Swift AmBank, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semua dana itu disalurkan melalui tujuh transaksi berbeza ke dua akaun berakhir 880 dan 694 milik ahli Parlimen Pekan itu.
Saksi ke-29 perbicaraan berkata AS$61 juta telah dipindahkan daripada Tanore Finance Corp melalui Falcon Private Bank Ltd Singapura ke akaun Najib yang berakhir dengan 694 pada 25 Mac 2013.
Melalui pemindahan daripada Blackrock Commodities (Global) Limited dan Vista Equity International Partners, Najib menerima £9.4 juta (RM49.9 juta pada masa material) antara Jun dan Disember 2014.
Kedua-dua Vista Equity dan Blackrock merupakan syarikat yang dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan, sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low.
Blackrock Commodities (Global) Limited, sebuah syarikat yang dikawal oleh rakan ahli perniagaan Low Taek Jho mengirim £750,000 melalui DBS Bank Ltd Singapura kepada akaun berakhir 880 milik Najib pada 23 Jun 2014.
Wedani berkata lima lagi transaksi yang dibuat dalam pound sterling berasal daripada Vista Equity dan dimasukkan ke dalam akaun berakhir 880 milik Najib pada 2014.
Vista Equity melalui Amicorp Bank dan Trust ltd Barbados memindahkan £5.570 juta pada 10 Oktober, £694,342.62 pada 24 November, £2,216.01 pada 24 November, £995,000 pada 15 Disember dan £1,264,462.29 pada 18 Disember.
Wedani juga mengesahkan keterangan Rosliza Ishak minggu lalu yang beliau telah menukar £9.46 juta kepada ringgit pada 2014 ke dalam akaun Najib tanpa mengetahui siapa pemiliknya.
Rosliza, yang merupakan pengurus kanan di Jabatan Juala FX ketika itu berkata beliau melakukan penukaran selepas menerima arahan daripada pengurus perhubungan pelanggan di AmBank Joanna Yu Ging Ping.
Selain transaksi masuk, Wedani juga memberi keterangan ada satu transaksi keluar daripada akaun berakhir 694 milik Najib kepada Tanore.
Melalui arahan kepada Ketua Perbendaharaan Kumpulan Ambank pada 21 Ogos 2013, Najib mengarahkan bank itu memindahkan AS$620,010,715.39 kepada bank Tanore di Falcon Private Bank Ltd Singapura.
AmBank mengeluarkan arahan Swift pada 26 Ogos 2013 untuk memindahkan wang yang melalui JP Morgan and Chase sebelum berakhir di Falcon. – 20 Jun, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen