Peruncit masih belum import ayam, tunggu harga baharu pada 1 Julai


Khoo Gek San

Malaysia berdepan masalah kekurangan bekalan ayam, memaksa pelbagai langkah diambil kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2022.

WALAUPUN permit import (AP) untuk mengimport ayam sudah dimansuhkan, peruncit masih keberatan untuk menggunakan kelebihan ini dengan mengambil sikap tunggu dan lihat apabila harga siling ayam dibatalkan pada 1 Julai nanti.

Sehingga hari ini, Putrajaya masih belum memberikan penjelasan mencukupi bagaimana harga ayam akan diapungkan selepas tarikh itu.

Harga semasa untuk ayam biasa adalah RM8.90 sekilo dengan kerajaan memberi subsidi sebanyak 60 sen sekilo kepada penternak ayam, manakala harga runcit semasa ayam super pula adalah RM9.90.

Kerajaan sudah mengumumkan subsidi yang diberikan juga akan dibatalkan.

Usahawan ternama Ameer Ali Mydin yang menguruskan rangkaian kedai Mydin, antara yang terbesar di Malaysia, berkata peruncit masih menunggu apa yang akan berlaku selepas 1 Julai dan tidak terburu-buru mengimport ayam.

Mereka bimbang mengalami kerugian jika harga ayam import lebih mahal berbanding harga yang boleh dijual, kata pengarah urusan Mydin itu.

“Saya pergi ke Thailand baru-baru ini untuk memeriksa harga dan bekalan ayam di sana, dan harga mereka lebih RM10 sekilo. Jika itulah harga di sana, harga import untuk peruncit Malaysia mungkin sekitar RM12 atau RM12.90 sekilo.

“Jika peruncit Malaysia mengimport (ayam) sekarang tanpa penjelasan lanjut daripada kerajaan tentang pembatalan harga siling selepas 30 Jun, mereka bimbang rugi.

“Walaupun kerajaan berkata tiada lagi subsidi selepas akhir Jun, ia tidak menjelaskan samada kawalan harga juga sudah tidak wujud. Jadi peruncit tidak berani ambil risiko.

“Apa yang kerajaan cakap setakat ini adalah menamatkan skim kawalan harga untuk ayam pada 1 Julai dan memberi amaran kepada petani dan penternak supaya tidak menaikkan harga ‘dengan melampau’.”

Harga ayam import dijangka melebihi RM11 sekilo, menyebabkan peruncit masih tidak berani melakukannya, bimbang kerugian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2022.

Tambah Ameer Ali, kekurangan penjelasan ini menyukarkan ahli perniagaan untuk membuat keputusan. Ia juga mewujudkan kemungkinan yang kerajaan akan mengumumkan harga siling baharu pada saat akhir.

Keengganan untuk mengimport ayam adalah berkaitan dengan ayam keseluruhan yang juga berdepan masalah bekalan dan pengeluaran di negara sumber, katanya lagi, tetapi dalam aspek bahagian ayam tidak banyak masalah wujud.

“Bahagian ayam import harganya lebih rendah berbanding harga yang diberikan oleh pembekal tempatan,” katanya.

Walaupun bekalan ayam tempatan kini rendah sekitar 30% sahaja, Ameer Ali berkata, produk diproses seperti nuget masih banyak.

Rangkaian pasaraya besar popular NSK juga berdepan masalah bekalan ayam.

Penasihat Kanan Kumpulan NSK Lim Choon Se berkata mereka hanya menerima 40% bekalan ayam yang habis dijual setiap pagi, nuget ayam juga habis dijual dengan cepat.

Menyentuh mengenai isu import ayam, Lim berkata: “Negara mana kita nak tengok? Berita kekurangan ayam di mana-mana sahaja, di pasaran Filipina, dan bekalan juga bermasalah di Thailand dan Indonesia.”

Beliau turut mengulangi pandangan Ameer Ali, yang kos ayam import akan melebihi RM11 sekilo.

Masalah bekalan ayam bukan sahaja dihadapi Malaysia, ia turut dialami di beberapa negara di Asia Tenggara lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2022.

Tambah Lim lagi, beliau juga akan menunggu sehingga 30 Jun untuk penjelasan lebih lanjut daripada kerajaan tentang apa kesan pembatalan subsidi kepada harga ayam.

Seorang usahawan ladang ayam bersepadu yang tidak mahu mendedahkan identitinya juga berkata yang kekurangan penjelasan kerajaan menyebabkan ramai usahawan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Malaysia sudah mengambil beberapa langkah untuk memastikan bekalan ayam dalam negara mencukupi.

Ini termasuklah menggantung eksport ayam hidup dan mentah bermula 1 Jun, menghapuskan AP untuk mengimport ayam dan mendesak syarikat berkaitan kerajaan untuk menceburkan diri di dalam penternakan ayam dan pengeluaran bijiran dalam negara. – 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen