Jangan melampau naikkan harga ayam, kata menteri


Desmond Davidson

Penternak ayam diberi amaran supaya tidak menaikkan harga ayam secara tidak munasabah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2022.     

PENTERNAK ayam diberi amaran supaya tidak menaikkan harga ayam secara tidak munasabah apabila kawalan harga barangan berakhir hujung bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

“Kami sudah memaklumkan kepada mereka bahawa mereka boleh menaikkan harga pada penghujung skim kawalan harga maksimum tetapi kami juga merayu bahawa kenaikan itu sepatutnya munasabah.

“Kami (kerajaan) memahami kesusahan mereka - peningkatan kos pengeluaran dan gangguan kepada rantaian bekalan global yang disebabkan oleh perang di Ukraine,” katanya.

Nanta bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian bersama perhimpunan agung tiga tahun sayap belia dan wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching pagi tadi.  

Malaysia sangat bergantung kepada import makanan ternakan yang harganya melonjak naik akibat perang.

“Kami sudah dimaklumkan oleh petani dan penternak bahawa mereka akan menaikkan harga. Kami sudah mengambil maklum pengumuman mereka.

“Kami tidak boleh menafikan kos pengeluaran sudah meningkat secara mendadak tetapi kami masih merayu kepada mereka untuk tidak menaikkan dengan harga tidak munasabah,” katanya. 

Nanta yang merupakan setiausaha agung PBB berkata jika mereka berbuat demikian mereka akan disiasat di bawah Akta Antipencatutan Kawalan Harga 2011.

Peningkatan itu katanya sepatutnya dalam margin yang boleh diterima.

Beliau berkata sebaliknya pengguna juga tidak boleh mengharapkan kawalan harga akan kekal selama-lamanya kerana ia akan memberi kesan kepada industri.

“Pengguna (juga harus) memahami masalah yang dihadapi petani dan situasi yang mereka hadapi,” katanya.

Nanta berkata jika kerajaan mengekalkan harga siling terlalu lama ia boleh menyebabkan penutupan industri penternakan ayam.

“(Akhirnya) kita mungkin tidak akan mempunyai bekalan ayam jika industri ditutup. Sekarang pun petani kecil sudah tutup kerana tidak ekonomik untuk diteruskan.

“Jangan sampai tahap itu. Keadaan ini mesti ditangani dengan betul,” katanya.

Beliau berkata perlu ada keseimbangan antara kepentingan petani dan pengguna.

“Kita sudah mencapai tahap sara diri 100%. (Maknanya) pengeluaran ayam kita jauh melebihi permintaan tempatan,” tambahnya. – 17 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen