Pelaburan cara memperkayakan Malaysia, atasi inflasi, kata Dr Mahathir


Aminah Farid

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada Forum Pandemik Pasca Kemiskinan Rakyat Malaysia yang diadakan di ibu negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Jun, 2022.

INFLASI tidak boleh dielakkan tetapi Malaysia boleh menanganinya dengan memperkayakan negara melalui lebih banyak pelaburan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun untuk melakukannya, Malaysia mesti bebas rasuah untuk menarik minat pelabur, katanya pada Forum Pandemik Pasca Kemiskinan Rakyat Malaysia hari ini.

“Pelabur tidak akan berminat untuk melabur jika rasuah tinggi dalam sesebuah negara,” kata ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu.

“Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah melayan bakal pelabur dengan baik. Sebagai tuan rumah kita mesti hadir apabila pelabur ingin bertemu.

“Kadang-kadang apabila pelabur datang, mereka tidak boleh berjumpa dengan pegawai kerajaan, apa lagi menteri dan perdana menteri.”

Bagaimanapun, Dr Mahathir menambah bahawa kerajaan Malaysia dilihat tidak “terlalu mengambil berat” untuk menghapuskan rasuah.

Negara juga mesti mempunyai infrastruktur yang baik dan pentadbiran yang berfungsi, kata perdana menteri dua kali itu.

Beliau berkata ini amat penting memandangkan Malaysia menghadapi saingan sengit daripada negara Asean yang lain.

“Saya baru sahaja ke Indonesia dan saya dapati ramai pelabur berminat untuk melabur di Indonesia kerana jumlah penduduknya melebihi 200 juta berbanding penduduk Malaysia, jadi pasarannya lebih besar walaupun pasaran tidak sekaya kita.

“Indonesia juga mempunyai kos pengeluaran yang lebih murah daripada kita, itu sebabnya mengapa menghapuskan rasuah yang akan menarik pelabur adalah penting kepada Malaysia,” katanya.

Semua negara bergelut dengan inflasi, tambah Dr Mahathir, tetapi menarik pelabur boleh membantu seseorang mengatasi masalah ekonomi “dengan mewujudkan banyak peluang pekerjaan” dan dengan membekalkan keperluan pelabur.

“Pelaburan adalah salah satu cara untuk memperkayakan negara, tanpa pelaburan negara akan menjadi miskin, dan jika pelabur tidak dilayan dengan baik dan jika tiada dasar yang baik, saya percaya orang seperti Elon Musk akan memilih Indonesia.”

Beliau merujuk kepada pengasas Tesla yang bertemu secara peribadi dengan Presiden Indonesia Joko Widodo di ibu pejabat Tesla di Texas selepas Sidang Kemuncak AS-Asean baru-baru ini.

Lawatan Jokowi ke Tesla dibandingkan dengan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan mahu menjemput Musk ke Malaysia tetapi tidak mendapat jemputan peribadi untuk bertemu dengan jutawan itu.– 19 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen