SPRM mula siasat individu yang disebut terima rasuah dalam kes Ahmad Zahid


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap beberapa individu yang dikatakan menerima rasuah oleh seorang saksi dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berlangsung.

Dalam satu kenyataan ringkas, agensi antirasuah itu berkata, pihaknya turut menerima beberapa laporan terhadap individu yang disenaraikan namanya menerima rasuah dalam lejar sebagai bukti dalam perbicaraan.

Bagaimanapun, agensi itu tidak menamakan sesiapa secara khusus dan berkata siasatan akan dijalankan di bawah peruntukan Akta Pencegahan Rasuah 2009.

Bagaimanapun, dipercayai bekas Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bekas menteri luar Anifah Aman dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican adalah antara mereka yang disiasat kerana nama mereka disebut sejak perbicaraan bermula.

Kenyataan SPRM itu dibuat selepas semalam, saksi dalam perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid berkata, Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi RM1.3 juta kepada Muhyiddin pada 2018, ketika Muhyiddin menjadi menteri dalam negeri selepas Zahid.

UKSB adalah firma yang dilantik oleh kerajaan pada 2016 untuk mengendalikan sistem visa asing atau VLN untuk pelancong China.

David Tan Siong Sun, 47, yang merupakan bekas pengurus pentadbiran UKSB berkata demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila lejar syarikat itu ditunjukkan kepadanya ketika perbicaraan.

Bagaimanapun, semalam Tan tidak menyatakan jumlah wang yang dibayar kepada Shafie, Anifah dan Reezal Merican.

Bagaimanapun, Muhyiddin petang semalam menafikan keterangan saksi itu dengan menyatakan beliau menjalani rawatan kanser di luar negara ketika pembayaran yang didakwa berlaku.

“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.

“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tohmahan ini.

“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah,” kata ahli Parlimen Pagoh itu dalam satu kenyataan.

Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri. – 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen