Pembelajaran sepanjang hayat mampu ganti PT3?


Aminah Farid

Kumpulan ibu bapa dan guru mengakui sistem pendidikan memerlukan perubahan agar selari dan mencapai standard global untuk melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

PEMANSUHAN Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) membolehkan pembelajaran sepanjang hayat diterapkan dengan lebih baik dalam diri murid, namun timbul persoalan adakah ia dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh pihak sekolah, kata kumpulan ibu bapa dan guru.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim memberitahu The Malaysian Insight, tidak dinafikan sistem pendidikan memerlukan perubahan agar selari dan mencapai standard global untuk melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Meski diakui pemansuhan PT3 akan mengukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), yang membolehkan guru menilai kemampuan pelajar secara menyeluruh, namun adakah guru dan sistem pendidikan itu sendiri bersedia dan berupaya untuk melaksanakannya, kata Azimah.

“Rangka kerja bagi menilai kualiti standard pendidikan, iaitu menilai sekolah, guru, pelajar, kepimpinan mengikut stardard Kementerian Pendidikan (KPM), hanya 40% tepat.

“Bermakna, sekolah itu sendiri masih terkial-kial untuk membuat penilaian. Selagi isu ini tidak ditangani, pemansuhan PT3 tidak akan membawa kepada apa-apa perubahan yang disasarkan,” jelasnya.

Sebab itulah kata Azimah, harus ada kayu pengukur untuk mengenal pasti sebarang kekurangan, serta langkah-langkah pemulihan dan bantuan yang perlu bagi guru dan pelajar.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim. – 18 Jun, 2022.

KPM pada 2 Jun lalu umum peperiksaan PT3 yang diperkenalkan pada 2014 dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini. Pemansuhan PT3 membolehkan KPM memberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kata menterinya Radzi Md Jidin.

Peperiksaan itu sebelum ini tidak dilaksana pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik Covid-19.

PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada 2011 dan diperkenalkan di peringkat menengah pada tahun 2012. PBS adalah pentaksiran yang bersifat holistik menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan kurikulum kebangsaan Malaysia. 

Ketua Latihan dan Sokongan, Teach For Malaysia Jessica Lim bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza dalam mengulas isu pemansuhan PT3.

Katanya, semasa pandemik Covid-19 guru terpaksa memikir jauh ke hadapan untuk memastikan pelajar terus memberi tumpuan kepada pelajaran ketika sekolah ditutup ekoran perintah kawalan pergerakan, dan bukan lagi semata-mata kerana peperiksaan.

Ketua Latihan dan Sokongan, Teach For Malaysia Jessica Lim. – 18 Jun, 2022.

Ini sekali gus membuktikan guru berkemampuan dan kreatif dalam mencari kaedah terbaik serta menukar cara pembelajaran sesuai dengan sebarang perubahan, kata Lim.

Tambahnya, pemansuhan PT3 akan mengurangkan tekanan kepada guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran.

“Kami berharap pemansuhan ini akan membolehkan usaha untuk melahirkan pelajar yang cintakan ilmu, mempunyai sifat ingin tahu dan kemahiran berfikir aras tinggi tercapai,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 18 Jun, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen