Pejuang lapor SPRM isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru


Pejuang dalam kenyataannya berkata warta di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat pada 18 Jun 2021 manakala warta di bawah Seksyen 8 akta sama dibuat pada 21 Jun 2021, ketika rakyat masih berada dalam PKP 3.0. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2022.

PARTI Pejuang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta suruhanjaya itu menyiasat isu pengambilan tanah melibatkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Laporan itu dibuat Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan yang hadir bersama wakil penduduk Kampung Sungai Baru di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada kira-kira pukul 4.30 petang.

Menurut kenyataan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir yang dibacakan Khairuddin selepas membuat laporan, parti itu berpandangan bahawa penduduk dan pemilik rumah teres serta flat Kampung Sungai Baru tidak diberikan keadilan sewajarnya apabila pewartaan pengambilan tanah dibuat secara tergesa-gesa.

Kenyataan itu juga mendakwa rundingan antara pemaju dan pemilik ketika itu masih berjalan dan cadangan usaha sama belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Menurut kenyataan Mukhriz itu, warta di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat pada 18 Jun 2021 (Jumaat) manakala warta di bawah Seksyen 8 akta sama dibuat pada 21 Jun 2021 (Isnin), dan kedua-dua warta itu dikeluarkan dalam tempoh masa singkat, ketika rakyat masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Mukhriz berkata siasatan itu adalah perlu untuk mengetahui jika wujudnya sebarang sogokan dan salah guna kuasa oleh mereka yang terlibat dalam isu pengambilan tanah berkenaan. – Bernama, 16 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen