Keluarga mangsa mahu hukuman mati mandatori kekal


Noel Achariam

Keluarga mangsa buli, T Nahveen berkata adil jika pelaku yang menyebabkan kematiannya itu dikenakan hukuman maksimum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2022.

AHLI keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat jenayah kejam masih mahukan hukuman mati mandatori dikekalkan.

Mereka berkata adil bagi yang disabitkan kesalahan mendapat hukuman maksimum.

Ini termasuk ibu mangsa buli D. Shanti, 47, di mana perbicaraan kes bunuh anaknya T. Nhaveen masih sedang berjalan.

“Saya nakkan hukuman mati. Saya mahu mereka (yang didakwa) rasa apa yang anak saya rasa.

“Apa yang mereka buat terhadap budak lelaki yang tidak bersalah…bagaimana mereka sanggup buat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shanti berkata mereka yang didakwa membunuh itu harus bertanggungjawab.

“Mereka yang didakwa sepatutnya mendapat nasib yang sama seperti anak saya. Saya tidak mahu mereka ulang apa yang mereka buat terhadap anak saya kepada orang lain.

“Tidak sama membunuh seseorang untuk membalas dendam dengan membunuh untuk mempertahankan diri atau keluarga,” tambahnya.

Pada 2017, Nhaveen yang berusia 18 tahun telah diserang dengan kejam, dipukul dengan topi keledar, diliwat dan dibiarkan mati.

Tiga suspek S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua lagi didakwa atas pembunuhan Nhaveen. Dua individu yang tidak dinamakan adalah remaja ketika kesalahan itu berlaku.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Jun antara 11 malam dan tengah malam, berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Jalan Kaki Bukit, Gelugor, Pulau Pinang, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori.

Perbicaraan pembunuhan Nhaveen sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi George Town.

Shanti berkata sudah lima tahun anaknya yang bercita-cita menjadi pemuzik itu meninggal dunia, malah beliau sukar untuk teruskan kehidupan.

“Saya betul-betul tak boleh buat apa. Saya rasa betul-betul terganggu bila fikirkan dia. Saya rasa sangat kosong sekarang. Kami mahukan keadilan untuk dia.”

Shanti berkata demikian mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai komitmen kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Buat masa ini hukuman mati masih kekal, tetapi tertakluk kepada budi bicara hakim.

Masih ada sedikit masa sebelum ia dikuat kuasa kerana kerajaan sedang mengkaji hukuman alternatif.

Seperti ibu Nhaveen, S. Shanti dari Bidor, Perak, juga tidak mahu hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Ibu kepada Sree Ravinthran berusia 39 tahun yang mayatnya ditemui tergantung di air terjun Kampung Chang pada 21 Mei tahun ini, berkata keadilan tidak ditegakkan.

“Hukuman mati tidak sepatutnya dimansuhkan. Kerana anak saya dibunuh, jadi saya mahu keadilan yang sama (untuk yang bersalah).

“Kami ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Saya akan lebih lega jika mereka dihukum mati. Ia akan berikan saya kedamaian.”

Pada 22 Mei, Shanti membuat laporan di balai polis Bidor mendakwa anak lelakinya berusia 19 tahun dibunuh.

Shanti berkata beliau berasa resah dan terus memikirkan tentang Sree.

“Mereka yang bertanggungjawab harus berdepan hukuman. Mereka terpaksa melalui kesakitan yang sama yang dirasai anak saya.”

Shanti berkata polis telah menangkap dua suspek dan siasatan sedang dijalankan. – 16 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen