Wajibkah semua orang jadi jutawan super?


Hadri Shah

GEORGE Orwell merakam emosinya mengenai kemiskinan dalam buku “penting sepanjang zaman,” Down and Out in London and Paris. Katanya, kemiskinan adalah “perkara yang paling kamu takut dalam hidup, kamu tahu lambat laun ianya akan berlaku, dan ia sebenarnya adalah jalan hidup berbeza yang membosankan. 

“Kamu fikir ia jalan yang teruk, namun hakikatnya, ia sangat membosankan. Perkara pertama yang kamu belajar adalah betapa rendahnya martabat miskin selain perubahan yang ia tawarkan, dan juga kekejaman yang sangat menyakitkan serta keperluan untuk berjimat cermat.”

Antara lain kandungan naskhah itu mencatatkan hubung kait pengalaman ngeri mengenai kemiskinan, krisis gelandangan dan perbezaan kelas sosial di Eropah 

Bagaimanapun, menurut pengarang terkenal itu, kemiskinan adalah “rutin hidup yang merimaskan” yang mana pada zaman ini mungkin sudah pupus.

Walaupun naskhah terbitan 1933 itu masih terletak elok di rak buku sehingga ke hari ini, kenyataannya, kemiskinan telah dianggap sebagai sejarah.

Malah, kemiskinan sudah menjadi pameran muzium, dianggap sebagai barang arkaik, bukti zaman gelap generasi terdahulu.

Dan kalaupun kemiskinan masih wujud dalam zaman ini, ia dilihat sebagai sebuah cerekarama elegan yang kemudiannya mengilhami ritual kebajikan. 

Orang kaya dan elitis mengerumuni kemiskinan dengan selembar cek besar tertera digit dan limpahan cahaya dari ratusan kamera yang merakam usaha dukungan orang kaya buat mereka yang memerlukan kehidupan yang lebih baik.

Namun, pesan langsung yang terpancar dari layar kemiskinan ialah: kemiskinan adalah teman akrab kepada sifat pemalas individu. Kemiskinan adalah episod kesengsaraan yang bermula dari kegagalan individu mencari peluang, selain cepat berputus asa dan tidak memiliki corak pemikiran seperti seorang jutawan. 

Kenyataannya dapat dilihat dengan bertambahnya senarai jutawan dari tahun ke tahun.

Begitulah yang dilaporkan Oxfam International. Setiap dua hari, dunia melahirkan dua orang jutawan super. Berpandukan data dari Forbes, Oxfam menyatakan terdapat 2,043 orang jutawan super di dunia pada hari ini.

Pertambahan kekayaan golongan jutawan super ini ternyata fantastik. Jumlah kekayaan mereka meningkat ke AS$762 bilion pada 2017. 

Malah, menurut data terbaharu Credit Suisse, jumlah pendapatan 42 orang paling kaya di bumi ini sama dengan jumlah pendapatan 3.7 bilion penduduk dunia.

Bagaimanakah golongan 1% (baca: kaya, elitis, jutawan) ini menjadi begitu sukses?

Untuk ini, ada banyak nasihat, rangsangan motivasi dan kaedah yang dikongsi kepada masyarakat tentang bagaimana golongan kaya, jutawan super dan elitis menjalani kehidupan mereka. 

Antaranya, golongan 1% ini mempunyai cara fikir yang berbeza dari kelas masyarakat biasa.

Mereka memiliki konsep kepercayaan yang berbeza dalam urusan pemilihan kerjaya (perniagaan, selalunya), tempat tinggal, menggunakan masa terluang, dan juga pendidikan. 

Golongan berjaya seperti mereka bekerja hampir 45-50 jam seminggu. Pada masa lapang, mereka gemar berdamping dengan penasihat cukai dan pegawai perundangan dengan tujuan mencari kaedah dan cara mengurangkan kadar cukai yang perlu dibayar. Pendidikan buat golongan kaya adalah perkara terpenting. Oleh itu, mereka membiayai anak-anak bersekolah di sekolah terbaik sebagai pelaburan untuk meneruskan legasi kekayaan keluarga.

Apakah benar sekiranya memenuhi jam bekerja seperti golongan ini, meluangkan masa bersama pegawai percukaian dan membiayai pendidikan di sekolah yang berbeza mampu membuatkan kita semua keluar dari kemiskinan?

Jawapannya: “Ya.”

Namun, jika diteliti jam bekerja buruh kanak-kanak di ladang koko di benua Afrika, mereka menghabiskan 12 jam sehari bekerja. Seminggu jam kerja mereka menghampiri 80 jam atau lebih, seperti yang dilaporkan dalam laman slavefreetrade

Manakala anak kepada tauke jenama baju H&M Steffan Perssin, syarikat itu mencatatkan jumlah keuntungan saham AS$805 bilion pada 2016. Tetapi pekerja Steffan bernama Anju yang tugasnya menjahit baju di kilang H&M Bangladesh selama 12 jam sehari hanya memperoleh AS$900 setahun.

Manakala di Malaysia, separuh dari pekerjanya berpendapatan kurang dari RM2,000 setahun. Mereka terperangkap dengan hutang tinggi untuk belanja sewa rumah, keperluan makan, bil, kereta, dan perbelanjaan sekolah, walaupun data Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa “pada suku ketiga 2017, produktiviti buruh Malaysia meningkat 4.2% dari tahun ke tahun kepada RM82,456 selepas mencatatkan 4% (RM79,693) pada suku sebelumnya.” 

Ekonomi sedang berkembang, kalau menurut kata kelas pemerintahlah. Tetapi, apakah keadaan masyarakat bertambah baik?

Mengapa buruh kanak-kanak di Afrika tidak menjadi kaya walaupun jam bekerja mereka melebihi jam bekerja manusia yang memiliki syarikat gergasi cokelat seperti Mars, Nestle dan Hershey? 

Mampukah Anju, pekerja kilang H&M yang pendapatan tahunannya AS$900 berpeluang berdamping dengan pegawai percukaian selepas 12 jam tempoh bekerjanya seperti yang dilakukan jutawan yang “menyimpan” duit dan mengelak cukai seperti kes Panama Papers? 

Apakah kesemua kelas pekerja di Malaysia mampu membiayai pendidikan anak cucu jutawan zuhud idaman Malaysia seperti Syed Mokhtar Bukhari, Vincent Tan ataupun jutawan Mokhzani Mahathir, anak kepada bekas Perdana Menteri Malaysia?

Kata Jeremy Seabrook dalam bukunya Kemiskinan Global: “Ada cara lain untuk melihat kemiskinan. Pertama, dengan menelaah pertumbuhan pada masa ketimpangan. Keduanya berlangsung di antara dan di dalam negara. Penting kiranya untuk membezakan kemiskinan dengan ketimpangan. Kemiskinan adalah suatu keadaan kekurangan yang absolut (tiadanya keperluan asas untuk bertahan hidup), sedangkan ketimpangan adalah petunjuk ketidakadilan sosial.”

Tambah Jeremy, “dengan cara apa pun anda melihatnya, kemiskinan ekstrem wujud, sementara ketidakadilan sosial meningkat sepanjang waktu. Pemahaman itu mempunyai dampak penting atas perbicaraan mengenai kemiskinan, kerana model perbaikan yang diimbuhkan dalam globalisasi adalah bahawa orang miskin akan menjadi sedikit kurang miskin hanya jika orang kaya menjadi kian kaya.” 

Menjadi kaya, jutawan, jutawan super adalah idaman klasik semua manusia. Tetapi mengapa ketika semakin banyak orang kaya dan semakin kekayaan golongan yang kaya bertambah, kemiskinan serta ketidakadilan ekonomi dan sosial tidak juga lenyap?

Data UNDP Human Development Report menyatakan aset 200 orang terkaya di dunia bernilai lebih dari keseluruhan pendapatan tahunan 41% peduduk dunia. 

Bill Gates, Sultan Brunei dan keluarga Walton pula bila digabungkan kekayaan mereka bersamaan dengan jumlah pendapatan 600 juta penduduk yang tinggal di negara termiskin dunia. Jumlah kekayaan yang dimiliki golongan jutawan super tahun lepas iaitu AS$762 bilion mencukupi untuk membanteras kemiskinan dan memperbaiki ketimpangan ekonomi.

Mengapa angka yang kita sedang lihat sekarang tidak digunakan untuk memusnahkan drama pedih tentang kemiskinan dan ketidakadilan?

Jawapannya mudah. Status kekayaan telah pun menetapkan takdir bahawa hanya yang betul-betul layak sahaja dapat menerima insentif tertentu sedangkan mereka yang tidak layak, diasuh untuk berlari dalam kitaran yang tidak berpenghujung. 

Seperti pada perenggan akhir rencana Tackling Inequality Talk Is Easy: “Sekiranya golongan elit serius menangani jurang yang semakin ketara antara orang kaya dan yang lain, mereka tahu apa yang perlu mereka perlu buat. Dan, sudah tentu ia tidak akan melebih-lebih daripada mereka.”

Barangkali, kita tidak perlu menjadi kaya, mengejar status elitis dan bergelar jutawan super. Kerana pada setiap tahap status kekayaan, ia menggambarkan kita sebuah tragedi jurang kelas, ketimpangan sosial dan ketidakadilan ekonomi.  

Kekayaan bukanlah jawapan kepada pemberesan kemiskinan dan kesenjangan ekonomi.

Kemiskinan pula bukanlah sebuah situasi teragung, bahkan masyarakat domestik mahupun global kini terdesak memerlukan suatu penyelesaian baharu untuk segera menemui persaudaraan bersama, bukannya kepada kekayaan yang mencipta kasta, tetapi sebuah cita-cita kepada keamanan dan kelayakan yang sama rata. – 19 Februari, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen