Duta Indonesia kembali ke Jakarta selesaikan isu pembatalan visa pekerja


Aminah Farid

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata beliau akan cuba sedaya upaya menyelesaikan isu pembatalan visa 47 pekerja warganegaranya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2022.

DUTA Besar Indonesia ke Malaysia Hermono akan kembali ke Jakarta esok bagi menyelesaikan isu pembatalan visa 147 pekerjanya ke Malaysia untuk bekerja di ladang kelapa sawit.

Hermono memberitahu The Malaysian Insight beliau akan cuba sedaya upaya menyelesaikan isu itu dan bertemu pekerja tidak lama lagi.

Sebelum ini dilaporkan seramai 167 pekerja warga Indonesia dijangka tiba di negara ini. Hermono membetulkan angka ini dan berkata hanya 147 akan ditempatkan kerana selebihnya masih belum menyediakan dokumen mereka.

Visa 147 pekerja itu dibatalkan kerana kekeliruan berhubung visa kemasukan tunggal yang mengatakan “tidak dibenarkan untuk terlibat dalam mana-mana pekerjaan atau pekerjaan profesional di Malaysia”.

Hermono menjelaskan sistem lama mempunyai pilihan di mana pekerja atau pelajar boleh mengisytiharkan mereka memasuki negara ini dengan visa kemasukan tunggal untuk belajar atau bekerja.

“Oleh itu kenapa mereka keliru dan visa dibatalkan.

“Saya mencadangkan kepada kedutaan Malaysia di Jakarta untuk kembali kepada sistem lama di mana orang ramai boleh mengisytiharkan jika mereka pergi ke Malaysia untuk bekerja atau belajar dengan visa kemasukan tunggal,” katanya.

Jurucakap Kementerian Manusia memberitahu The Malaysian Insight hari ini mereka tidak mempunyai sebarang butiran berhubung situasi semasa dan akan mengemas kini apabila mereka mempunyai maklumat yang mencukupi.

Pada Jumaat Menteri Sumber Manusia M Saravanan turut menyebut berkenaan kekeliruan yang menyebabkan pembatalan visa berkenaan

“Perkara ini sedang diproses di pihak kami. Apabila kita mengeluarkan visa untuk masuk ke Malaysia ia bermakna mereka boleh terus bekerja.

“Mereka mesti menjalani saringan kesihatan mandatori dan selepas lulus barulah menerima kelulusan (untuk bekerja),” katanya.

Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia bersedia mengalu-alukan kumpulan besar pekerja pertama dari Indonesia sejak membuka semula sempadan sebagai rangsangan bagi industri yang berdepan kekurangan lebih 100,000 pekerja.

Masalah buruh mengurangkan pengeluaran minyak sawit di Malaysia yang bergantung kepada buruh asing ke paras terendah dalam beberapa tahun apabila dunia berdepan kekurangan minyak masak akibat perang Rusia-Ukraine dan sekatan eksport di pengeluar utama Indonesia.

Pekerja Indonesia dari pulau Lombok di Indonesia itu dijangka tiba di Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan sewa.

Tetapi agensi Indonesia yang bertanggungjawab untuk melindungi pekerja asing  membatalkan proses pengambilan dan tidak membenarkan pekerja itu menaiki penerbangan. – 7 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen