Perkasa dukacita diplomat Israel masuk Malaysia


BERITA kehadiran diplomat lsrael di Kuala Lumpur benar-benar memeranjatkan Perkasa dan seluruh warga Malaysia khususnya masyarakat lslam.

Berita ini amat mendukacitakan kerana selama ini Malaysia tidak punyai hubungan diplomatik dengan lsrael malah terkenal sebagai negara lslam yang lantang menentang lsrael di samping kuat membela negara dan rakyat Palestin.

Malaysia selama ini, sama ada kerajaan atau NGO, menentang lsrael kerana kezalimannya merampas bumi Palestin, membunuh dan menyeksa rakyatnya sejak 1948. Pada Malaysia, bumi suci Baitulmaqdis adalah ibu negara Palestin. Ia mesti dipertahankan walau apa cara sekali pun. Malah Perjanjian Oslo 1993 juga membuat ketetapan Baitulmaqdis adalah ibu kota Palestin.

Malaysia juga selama ini terkenal di mata dunia sebagai negara lslam yang menuntut supaya lsrael keluar dari bumi Palestin yang dikuasai sejak perang 1967, selaras dengan Resolusi 242 dan 338 Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Dengan kehadiran diplomat Israel ini sudah pasti membawa erti Kerajaan Malaysia membuat pusingan 360 darjah ke arah mengiktiraf negara Israel, merelakan perampasan bumi Palestin, pembunuhan dan kezaliman ke atas rakyat Palestin.

Pendirian Malaysia ini menggambarkan kerajaan kita meninggalkan Palestin dan rakyatnya. Ini bermakna sia-sialah segala usaha dan pengorbanan kita selama ini, sekali gus juga kredibiliti Malaysia yang selama ini dipandang tinggi oleh negara-negara Islam, pasti punah.

Lebih teruk dari itu, masyarakat Islam di Malaysia amat marah dan kecewa kerana musuh utama Islam mula mendapat tempat di hati kerajaan.

Persoalannya ialah apakah ada kuasa-kuasa tertentu dari luar dan dalam negeri yang mengugut kerajaan lantaran negara sedang berhadapan dengan pelbagai masalah besar khususnya dalam menghadapi kegetiran PRU14 yang dianggap ibu segala piihan raya.

Perkasa tidak percaya kehadiran diplomat Israel ini sebagai suatu kebetulan atau terlepas pandang oleh mana-mana pihak.

Atas kejadian ini Perkasa menuntut supaya perkara ini berhenti serta merta dan tidak berulang lagi. Ini bukan soalan diplomasi semata tetapi soal agama.

Kerajaan juga digesa meminta maaf kepada seluruh masyarakat Islam dan berikan penjelasan terperinci mengenai perkara ini secepat mungkin. Pada masa yang sama perkara ini hendaklah dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan. – 18 Februari, 2018.

* Sirajuddin Salleh ialah timbalan presiden Perkasa.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kesudian malaysia menerima kunjungan diplomat israel ats dasar mahu menyampaikan penentangan terhadap penindasan yg dilakukan terhadap palestin atas kapasiti anggota negara pbb..itu saja..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan