Miti wajib jelas tentang kebocoran datanya, kata ahli Parlimen DAP


KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) wajib menjelaskan mengapa data pekerja syarikat berdaftar dalam Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) terdedah di laman webnya, kata Dr Ong Kian Ming.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata Miti juga perlu memaklumkan syarikat terbabit supaya para pekerjanya boleh ambil langkah berjaga-jaga.

Ong menggesa Miti supaya bersikap telus kerana ia salah satu kementerian barisan hadapan yang berurusan dengan syarikat.

“Selanjutnya, MITI mesti perlu jelaskan secara penuh kepada rakyat bagaimana perkara ini boleh terjadi jika ia mahu terus mendapat kepercayaan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada hantaran oleh pakar IT dan keselamatan siber Dr Suresh Ramasamy di LinkedIn pada 30 Mei tentang lebih 2,000 fail Excel mengandungi data pekerja syarikat boleh diakses di laman web Miti.

Suresh berkata ini mungkin melibatkan 1.7 juta pekerja berdasarkan jumlah yang mendaftar di bawah Pikas semasa pandemik Covid-19.

Butiran, yang boleh dimuat turun secara terbuka dari laman web Miti, termasuk nama pekerja, nama syarikat, nombor kad pengenalan dan jawatan kerja.

Ong berkata Miti wajib menjelaskan sama ada kesilapan ini disebabkan oleh kesilapan yang dilakukan oleh Institut Automotif, Robotik dan IT Malaysia kementerian itu.

“Miti juga mesti menjelaskan sama ada pelanggaran ini disebabkan oleh kekurangan kepimpinan agensi ini selepas penyingkiran Ketua Pegawai Eksekutif Madani Sahari, yang telah ditangkap dan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersama lapan yang lain pada Mac,” kata bekas timbalan menteri itu.

Pikas bertujuan untuk mendapatkan syarikat pembuatan mempercepatkan vaksinasi untuk pekerja mereka. – 3 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen