Putrajaya perlu jelas rancangan bina 3 lagi lebuh raya, kata ahli Parlimen 


Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata kerajaan perlu perjelaskan dengan lebih terperinci berhubung pembinaan 3 lagi lebuh raya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

KELULUSAN Putrajaya untuk membina tiga lagi lebuh raya mesti dijelaskan dengan lebih terperinci, kata Ong Kian Ming.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata kerajaan perlu menjelaskan perkara seperti kos dan sama ada sebarang pinjaman mudah akan ditawarkan kepada ketiga-tiga syarikat itu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada projek di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) itu diberikan melalui tender awam dan jika ya, adakah ia dianugerahkan kepada syarikat konsesi yang berwibawa.

“Adakah syarikat-syarikat ini mempunyai pengalaman dan rekod prestasi yang kukuh untuk memberi keyakinan kepada Ukas bahawa mereka akan dapat melaksanakan projek-projek ini dengan baik?” tanya Ong.

“Apakah terma dan syarat dalam perjanjian konsesi termasuk kadar tol, sama ada kadar tol akan dinaikkan dalam tempoh yang ditetapkan dan pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika kadar tol tidak dinaikkan?”

Ong mempersoalkan kementerian kerja raya sama ada ia telah menjalankan kajian aliran trafik untuk menunjukkan bahawa ketiga-tiga lebuh raya itu akan mengurangkan kesesakan.

Berhubung Lebuhraya Bangi-Putrajaya (BPE), Ong berkata syarikat konsesi Bangi Expressway Sdn Bhd yang dimiliki oleh MIL-TECH Sdn Bhd mempunyai rekod prestasi yang meragukan, telah menjual bangunan kepada kerajaan sebelum ini pada harga yang melambung tinggi.

“Projek lebuh raya yang telah dicadangkan ini akan memberi impak jangka panjang kepada landskap, cara hidup dan kadar pembangunan di kawasan terbabit.

“Proses untuk meluluskan projek seumpama itu tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya perlu dilakukan secara telus dari segi pendedahan maklumat dan keterbukaan dari segi perbincangan umum,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata tiga lebuh raya baharu itu akan menambah baik perhubungan di Lembah Klang dan mengurangkan kesesakan.

Selain BPE, dua lebuh raya lain ialah lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL-NODE). – 30 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen