Menteri Rusia kata dakwaan AS 'merepek'


Selagi tiada fakta, semuanya adalah merepek, kata Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang mengulas dakwaan bahawa Moscow telah campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang memberi kemenangan kepada Presiden Donald Trump. – Gambar EPA, 17 Februari, 2018.

MENTERI Luar Rusia, Sergei Lavrov hari ini menepis dakwaan bahawa Moscow telah campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang memberi kemenangan kepada Presiden Donald Trump.

“Selagi tiada fakta, semuanya adalah merepek,” katanya di Persidangan Keselamatan Munich, sehari selepas AS mendakwa 13 warga Rusia kerana mengadakan kempen rahsia untuk mempengaruhi undi rakyat AS.

Pertuduhan itu memperincikan yang terdapat sebuah operasi dilancarkan pada 2014 didakwa untuk membenihkan perpecahan masyarakat AS dan mempengaruhi politik negara itu “termasuklah pilihan raya presiden 2016.”

Mueller mendakwa pada pertengahan 2016, kempen itu, yang di bawah arahan sekutu Presiden Rusia Vladimir Putin, iaitu Yevgeny Prigozhin telah memfokuskan untuk menaikkan Trump dan menjatuhkan musuh politik Trump termasuklah Hillary Clinton.

Kempen itu dikatakan melibatkan “beratus” orang yang bekerja siang malam dengan bajet jutaan dolar. Malah, tiga syarikat juga didakwa dalam pertuduhan itu.

Menurut pendakwaan yang dikemukakan itu, anggota kumpulan kempen itu menyamar sebagai warga AS di Facebook, Twitter, Youtube dan juga Instagram, dengan memuat naik isi kandungan yang menarik perhatian warga AS.

Malah, isi kandungan yang direka oleh kumpulan itu turut di retweet oleh dua anak lelaki Trump, Don Jr dan Eric selain beberapa pegawai tertinggi kempen presiden Trump dan rakan rapat Trump.

Namun, tiada keputusan atas dakwaan itu sama ada campur tangan Rusia itu telah mengubah keputusan pilihan raya AS.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu, Lavrov berkata: “Tiada reaksi apa-apa dari saya sebab apa saja dan segala-galanya boleh diterbitkan. Kita lihat semakin banyak tuduhan, kenyataan.”

Tetapi, tegas Lavrov, pihak berkuasa AS termasuk Naib Presiden Mike Pence pada masa dulu “menafikan penglibatan mana-mana negara terhadap keputusan pilihan raya”.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova sebelum ini telah mengecam dakwaan Mueller sebagai “tidak masuk akal”.

Sementara itu, Trump menerusi akaun Twitternya berkata: “Rusia memulakan kempen anti-AS pada 2014, jauh sebelum saya mengumumkan untuk bertanding sebagai presiden.

“Keputusan pilihan raya itu tidak terkesan. Kempen Trump tidak buat sebarang kesalahan. Tiada pakatan sulit!”

Tidak seorang pun dari 13 warga Rusia yang didakwa ditahan di AS. – AFP, 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen