13 warga Rusia didakwa campur tangan pilihan raya AS 2016


Pertuduhan itu memperincikan yang terdapat sebuah operasi dilancarkan pada 2014 didakwa untuk membenihkan perpecahan masyarakat AS dan mempengaruhi politik negara itu “termasuklah pilihan raya presiden 2016.” – Gambar AFP, 17 Februari, 2018.

PENDAKWA raya khas Amerika Syarikat (AS) yang menyiasat penglibatan Moscow dalam pilihan raya presiden telah mendakwa 13 warga Rusia kerana mengadakan kempen rahsia mengganggu undi untuk memenangkan Presiden AS Donald Trump.

Pertuduhan itu memperincikan yang terdapat sebuah operasi dilancarkan pada 2014 didakwa untuk membenihkan perpecahan masyarakat AS dan mempengaruhi politik negara itu “termasuklah pilihan raya presiden 2016.”

Tuduhan itu dikemukakan oleh peguam khas Robert Mueller.

Mueller mendakwa pada pertengahan 2016, kempen itu, yang di bawah arahan sekutu Presiden Rusia Vladimir Putin, iaitu Yevgeny Prigozhin telah memfokuskan untuk menaikkan Trump dan menjatuhkan musuh politik Trump termasuklah Hillary CLinton.

Kempen itu dikatakan melibatkan “beratus” orang yang bekerja siang malam dengan bajet jutaan dolar. Malah, tiga syarikat juga didakwa dalam pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Moscow menafikan segala pertuduhan itu dengan menggelarkan ianya sebagai “tak masuk akal.”

Menurut pendakwaan yang dikemukakan itu, anggota kumpulan kempen itu menyamar sebagai warga AS di Facebook, Twitter, Youtube dan juga Instagram, dengan memuat naik isi kandungan yang menarik perhatian warga AS.

Malah kumpulan itu juga didakwa mempunya hubungan dengan ahli kumpulan kempen Trump, tetapi dengan tujuan yang lebih besar iaitu “matlamat strategik untuk menanam benih percanggahan dalam sistem politik di AS.”

Malah, isi kandungan yang direka oleh kumpulan itu turut di retweet oleh dua anak lelaki Trump, Don Jr dan Eric selain beberapa pegawai tertinggi kempen presiden Trump dan rakan rapat Trump.

“Tiada dakwaan dalam pertuduhan ini bahawa terdapat rakyat Amerika yang tahu mengenai aktiviti haram ini,” kata Timbalan peguam negara Rod Rosenstein.

Tambahnya, turut tidak ada penghakiman sama ada kempen itu “telah mengubah hasil.”

Tiada pakatan sulit

“Rusia memulakan kempen anti-AS pada 2014, jauh sebelum saya mengumumkan untuk bertanding sebagai presiden,” tulis Trump melalui akaun twitter-nya.

“Keputusan pilihan raya itu tidak terkesan. Kempen Trump tidak buat sebarang kesalahan. Tiada pakatan sulit!” – AFP, 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen