Peperiksaan PT3 dimansuhkan mulai tahun ini, kata menteri


Aminah Farid

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin hari ini umum pemansuhan PT3 bermula tahun ini, selepas dua tahun peperiksaan itu tidak dijalankan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Jun, 2022.

PEPERIKSAAN Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan dimansuhkan bermula tahun ini, kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin.

Beliau berkata kementerian memutuskan untuk memansuhkan PT3 selepas dua tahun peperiksaan itu tidak dijalankan.

Keputusan itu diumumkannya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Ia susulan daripada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

“Sebelum pandemik, PT3 digunakan di sekolah, di mana guru membuat soalan untuk pelajar dan peperiksaan diadakan di bawah kawalan sekolah.

“Namun, KPM memutuskan PT3 tidak akan diadakan lagi bermula tahun ini.”

Radzi berkata KPM akan memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mengandungi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Kita akan mengukuhkan penilaian akademik akhir tahun di sekolah rendah bagi lima mata pelajaran, sementara ia akan merangkumi semua subjek di sekolah menengah.”

Beliau berkata KPM akan hanya membuat soalan untuk lima matapelajaran di sekolah rendah: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, sementara guru akan menyediakan soalan matapelajaran lain.

“Lima matapelajaran ini akan membantu guru dalam memastikan murid mereka mahir matapelajaran berkenaan pada hujung sesi pembelajaran.

“Bagi pihak KPM, maklumat itu akan membolehkan kementerian memantau sepenuhnya pencapaian pelajar dalam konteks dinyatakan sebelum ini,” katanya.

Katanya, sekolah boleh memilih tarikh peperiksaan akan diadakan dan tidak perlu diadakan pada masa sama seluruh negara. – 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen