Merawat kesenduan politik Malaysia 


Fakhrurrazi Rashid

PILIHAN raya persekutuan Australia baru melabuhkan tirai. Parti Buruh Australia (ALP) berjaya mengambil semula kerajaan daripada gabungan parti Liberal-Nasional yang memerintah hampir sedekad. ALP memperoleh 75 daripada 150 kerusi Parlimen. 

Parti Liberal-Nasional sekadar menang 59 kerusi dan ini merupakan prestasi terburuk mereka sejak 1949. Baki 17 kerusi dimenangi oleh parti lain seperti parti Hijau (tiga kerusi) dan bebas (10 kerusi). Kalau dikumpulkan semua kerusi Liberal-Nasional dan parti-parti lain, ALP hanya ada majoriti dua kerusi di Parlimen. 

Tapi, politik Australia sudah terbiasa dengan kerajaan minoriti yang selalunya akan bertahan hingga akhir penggal. Itulah kekuatan sistem demokrasi di Australia. Tidak seperti politik Malaysia apabila kerajaan minoriti sering jatuh disebabkan percaturan politik untuk merebut kuasa sehingga rakyat pun mula meluat. 

Apa yang lebih menarik, sistem demokrasi Australia semakin terbuka dan menerima pemimpin daripada pelbagai latar belakang. Maka, tidak hairanlah cerita seorang bekas konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jurulatih ikan lumba-lumba kelahiran Malaysia Sam Lim, calon Parti Labour, dipilih menjadi wakil rakyat di Australia.

Anak kelahiran Muar, Johor itu berhijrah ke Australia selepas peluang ekonominya di Malaysia malap. Datang daripada keluarga yang kurang senang, ceritanya menjadi inspirasi kepada segelintir rakyat Malaysia. Kemenangnya agak besar kerana mengalahkan Ben Morton, penyandang kerusi Parlimen Tegney dan pegawai kanan Perdana Menteri daripada parti Liberal.

Kemenangan Sam Lim di kawasannya turut berlaku kerana rakyat mahu kepimpinan baharu. Tanpa peluang dan kebangkitan rakyat, sudah pasti beliau juga tidak mampu mengalahkan salah seorang pegawai kanan perdana menteri. Kemenangan ini telah mengakhiri kesenduan politik Australia yang dipelopori parti Liberal-Nasional hampir sedekad lalu.  

Bayangkan sahaja, kalau Sam Lim dengan pengalaman sebagai konstabel polis bergaji rendah dan jurulatih ikan lumba-lumba, adakah dia mampu bertanding dalam pilihan raya di Malaysia?
 
Adakah rakyat sanggup menerimanya? Adakah mana-mana parti sanggup mencalonkannya? Bagi saya mungkin tidak.

Kesenduan politik Malaysia

“Awak orang siapa, team mana, dan pemimpin mana?”. Ini adalah budaya yang kian menebal dalam politik Malaysia sehingga mereka yang berwibawa sukar diangkat sebagai seorang pemimpin rakyat. Cara lama ini juga didakwa telah melumpuhkan sistem politik Malaysia yang jauh daripada realiti rakyat.  

Mungkin dengan cara lama ini, agak sukar untuk individu seperti Sam Lim menjadi calon parti politik di Malaysia. Tetapi, jika dia mempunyai ‘kabel’ dan pandai membodek pemimpin politik, mungkin dia akan berjaya menjadi calon beberapa parti politik di Malaysia dan bertanding di kawasan yang tidak boleh menang. 

Meskipun andaian saya agak skeptik, tetapi Malaysia pernah melalui tempoh di mana kemunculan pemimpin baharu dan muda telah membuat gelombang perubahan sehingga menewaskan ‘giant killer’ dalam arena politik negara, khasnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Kebanyakan pemimpin baharu dan muda, sama ada Menteri mahupun pegawainya, memenuhi Parlimen, pejabat menteri dan pentadbiran negeri. 

Tetapi, langit tidak selalu cerah. Belum sampai beberapa bulan era ‘Malaysia Baharu’ bermula, ia telah kembali menjadi ‘Malaysia Lama’. Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, jumlah ahli Parlimen melompat parti paling tinggi berlaku pasca PRU14, yakni 39 daripada 222 orang ahli Parlimen sehingga kerajaan dipilih rakyat tumbang di tengah jalan. 

Kalau ditambah wakil rakyat di peringkat negeri yang melompat parti, jumlah ini mungkin sampai beratus. Dan, lebih malang lagi apabila segelintir pemimpin baharu turut terlibat dalam siri mengkhianati mandat rakyat. Senario ini hanya melebarkan jurang sistem politik dengan realiti rakyat.  

Inilah kesenduan politik Malaysia. Bila politik negara sendu, menteri buat halnya sendiri tanpa peduli akan kesusahan rakyat. Mereka begitu selesa sampai kecuaian, ketirisan, dan kelemahan menguruskan kemelut ekonomi hanya perkara biasa yang tidak perlu disegerakan. 

Sikap ini telah melumpuhkan sistem demokrasi dan pentadbiran kerajaan yang sepatutnya membawa kebaikan kepada rakyat.  

Manakala rakyat yang sudah muak dengan keadaan politik terus meninggalkan usaha membuat perubahan dan hanya berharap bulan jatuh ke riba. 

Jadi, sampai bila kesenduan ini akan berlarutan? Adakah ia perlu dibiarkan sehingga menjejaskan ekonomi dan politik negara atau terus melakukan perubahan politik yang lebih baik?

Reformasi politik tidak boleh dilengahkan

Jawabannya adalah mengubah sistem politik dan demokrasi ke arah yang lebih baik, yakni sebuah sistem yang berkesan dalam membantu rakyat. Hakikatnya, stereotaip terhadap reformasi politik juga masih menebal sehingga ada mendakwa agenda ini tidak membuatkan perut rakyat kenyang. 

Memang reformasi politik tidak boleh buat orang kenyang, tetapi ia mampu mengatasi dan mengawal pemimpin dan orang atasan untuk tidak tamak dan kenyang sendirian secara besar-besaran, melakukan rasuah dan pemborosan, sehingga keperluan rakyat terabai. Reformasi politik mampu merawat kesenduan politik Malaysia.  

Dan kerana sistem politik begitu memberi keselesaan kepada ahli politik, pemimpin negara hilang idea untuk membawa pembaharuan bagi memajukan Malaysia, kemudian mereka membawa idea-idea lama dengan harapan baru seperti mengembalikan cukai GST ketika keadaan rakyat sedang tenat dengan kos sara hidup yang tinggi.  

Sebab itu, usaha membuat reformasi politik seperti penambahbaikan sistem pilihan raya, Parlimen, dan kecekapan pentadbiran awam perlu dipergiatkan agar pemimpin berwibawa dan berintegriti mampu diberi ruang untuk menerajui negara. 

Tidak ada nilainya jika kita menempatkan pemimpin baharu dan berintegriti tetapi akhirnya sukar membawa perubahan kerana sistem politik masih lapuk. 

Kita boleh mengambil inspirasi daripada pilihan raya yang berlaku di Australia. Gabungan sistem politik yang telus dan ruang demokrasi terbuka mampu mengangkat pemimpin berkaliber walaupun pengalamannya hanya bekas jurulatih ikan lumba-lumba. 

Tetapi, sejauh manakah reformasi politik ini benar-benar dipedulikan rakyat atau pemimpin negara? Atau rakyat selesa dengan keadaan politik dan ekonomi negara sekarang? – 1 Jun, 2022.     

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen