Najib umum lima projek besar bernilai lebih RM1.3 bilion di Langkawi


Najib berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, kuarters baharu petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baharu di Padang Matsirat (RM30 juta), menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang-Pulapol Langkawi (RM50 juta) dan projek mengatasi masalah bekalan air (RM600 juta). – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.315 bilion untuk lima projek baharu kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di pulau ini.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, kuarters baharu petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baharu di Padang Matsirat (RM30 juta), menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang-Pulapol Langkawi (RM50 juta) dan projek mengatasi masalah bekalan air (RM600 juta).

“Hospital Langkawi buat masa ini hanya dapat menampung 110 katil pesakit manakala kadar penggunaan katil hampir  mencecah 90 peratus. Oleh itu, projek bangunan tambahan Hospital Langkawi telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga RMK-11,” kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa berucap merasmikan ‘Program I Am Usahawan GO 4.0’ iaitu program kesedaran keusahawanan Revolusi Industri 4.0 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di sini.

Beliau berkata bangunan tambahan Hospital Langkawi antara lain akan dilengkapi 220 katil, wad unit rawatan rapi dan wad koronari selain menambah  bilangan perkhidmatan dan 10 bidang kepakaran yang sedia ada.

Najib berkata projek itu juga akan menyediakan kemudahan untuk pesakit bayar penuh bagi memenuhi permintaan pelancongan kesihatan di Langkawi, yang masih belum mempunyai hospital swasta.

Perdana Menteri berkata projek mengatasi masalah bekalan air di Langkawi, yang menerima peruntukan terbesar di antara kelima-lima projek itu, dilaksanakan untuk menangani keperluan bekalan air bersih dalam jangka panjang.

Beliau berkata pada  masa ini, kapasiti kemudahan pengeluaran air di Langkawi sudah mencapai tahap maksimum iaitu sebanyak 89.4 juta liter sehari dan projek yang melibatkan pembinaan ‘Off-River Storage’ di Padang Matsirat dapat memastikan bekalan air tambahan sebanyak 124.48 juta liter sehari yang cukup untuk menampung keperluan sehingga 2040.

“Pelaksanaan projek ini telah bermula awal tahun ini dan dijangka siap pada 2022,” kata beliau sambil memberitahu projek itu dapat mengakhiri keluh-kesah rakyat di pulau ini.

Beliau berkata kesemua projek itu adalah bukti komitmen berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk menjaga kebajikan rakyat di Langkawi.

Perdana Menteri berkata rakyat juga tidak boleh meneruskan kehidupan atas dasar sentimen atau perasaan.

Beliau menegaskan pembangunan dan transformasi untuk menjamin kesejahteraan rakyat memerlukan kerajaan yang kukuh dan bukannya kerana populariti seseorang individu.

“Seseorang individu, sejauh mana dia popular suatu ketika dahulu pun tidak boleh membawa perubahan tanpa ada kekuatan parti di belakangnya,” kata beliau.

Najib berkata sebagai  negeri yang tidak mempunyai sumber hasil semulajadi yang cukup, rakyat  Kedah tidak harus membiarkan negeri itu kembali ke zaman kelam sewaktu di bawah pemerintahan parti pembangkang.

“Tanpa sokongan kerajaan pusat, kita akan masuk ketika zaman kelam…kita jangan balik ke zaman tersebut tetapi mesti melihat ke hadapan,” kata beliau. – Bernama, 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dedak lg

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan