Najib pertahan dakwaan ketidaksamaan pendapatan semasa pentadbiran Pakatan


Aminah Farid

Najib Razak berkata kesaksamaan pendapatan negara lebih baik semasa di bawah pemerintahannya berbanding PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mempertahankan kenyataannya berkenaan ketidaksamaan pendapatan semakin meluas semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Najib sebelum ini memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia untuk menunjukkan terdapat peningkatan dalam pekali Gini Malaysia semasa pentadbiran jangka pendek.

Indeks Gini ialah ukuran pengagihan pendapatan merentasi populasi. Indeks Gini yang lebih tinggi menunjukkan ketidaksamaan yang lebih besar, dengan individu berpendapatan tinggi menerima peratusan lebih besar daripada jumlah pendapatan penduduk.

“Seperti yang anda lihat, pekali Gini Malaysia mengalami penurunan paling ketara dalam sejarah semasa saya menjadi perdana menteri, turun daripada 44.1 kepada 39.9,” katanya.

Kenyataan itu yang dibuat ketika berdebat dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim baru-baru ini, mengundang kritikan beberapa pihak.

Ada yang mendakwa beliau membuat dakwaan palsu memandangkan data Bank Dunia hanya sehingga 2015.

Bagaimanapun, Najib menjawab dengan menunjukkan jabatan statistik memang menyediakan data sehingga 2019.

“Saya tidak membuat dakwaan palsu atau berita palsu,” tulisnya di Facebook.

Beliau mendakwa pendapatan isi rumah B40 dan M40 meningkat lebih tinggi berbanding isi rumah T20 semasa pentadbirannya hasil daripada dasar diperkenalkan ketika itu, serta pengembangan pelbagai program pekerjaan dan perniagaan kecil.

Satu lagi perkara yang diketengahkan ialah pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menurut Najib adalah progresif kerana orang kaya terpaksa membayar cukai lebih tinggi bagi penggunaan barangan tidak dikecualikan. Ini menyumbang kepada pertumbuhan positif pendapatan isi rumah B40 dan M40.

“Kesaksamaan pendapatan bertambah baik pada kadar terpantasnya ketika itu, mengeluarkan jutaan rakyat Malaysia daripada kemiskinan tegar,” katanya.

“Tetapi ia meningkat semula pada 2019 apabila banyak dasar ini tarik balik oleh kerajaan PH.” – 31 Mei, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen