Rangka belanjawan holistik berkaitan bencana, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah menerima penganugerahan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) di Kuantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

BENCANA alam khususnya banjir yang melanda negara sebelum ini akan menjadi panduan Kementerian Kewangan dalam merangka belanjawan yang lebih holistik, kata Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, menerusi sesi libat urus antaranya dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat membantu kementerian itu dalam merancang peruntukan lebih baik contiohnya membabitkan perolehan aset dan infrastruktur.

“Pasukan bomba antara agensi pertama yang akan tiba di tempat kejadian dan mereka mempunyai input tepat dan menyeluruh, ia penting bagi kementerian supaya dapat merancang penyaluran kewangan lebih berkesan.

“Daripada input berkenaan kita lihat apa yang boleh ditambah baik, bagaimanapun ia bergantung kepada kedudukan kewangan negara pada masa itu dan keperluan semasa,” katanya kepada pemberita pada majlis penganugerahan pangkat kehormat JBPM di Kuantan, Pahang hari ini.

Terdahulu, Mohd Shahar menerima penganugerahan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid pada majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Turut menerima penganugerahan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) pegawai kewangan negeri Pahang Nazri Abu Bakar, pengerusi jawatankuasa pembangunan luar bandar dan hal ehwal Orang Asli Pahang Abd Aziz Mat Kiram dan pengerusi jawatankuasa hal ehwal Felda, koperasi, usahawan dan hal ehwal pengguna Pahang Nazri Ngah.

Sementara itu, setiausaha sulit khas Sultan Pahang Tok Aria Ratna Ahmad Norbadelin Abd Murad, pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang Zulkhairi Zainol Abidin dan pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid menerima penganugerahan pangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Dalam pada itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar memaklumkan balai bomba di Sungai Lembing yang sedang dalam pembinaan dijangka siap tahun depan. – Bernama, 30 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen