Caruman KWSP masuk ke Akaun 1, kata timbalan menteri


Chan Kok Leong

Caruman baharu KWSP bagi mereka yang mengeluarkan simpanan ketika pandemik Covid-19 akan dimasukkan ke Akaun 1. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

CARUMAN baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang mengeluarkan simpanan ketika pandemik Covid-19 akan dimasukkan ke Akaun 1, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah di Parlimen hari ini.

“Caruman itu akan dimasukkan ke Akaun 1 hingga dana yang dikeluarkan sebelum ini digantikan.

“Selepas itu, sumbangan akan kembali dipecahkan antara Akaun 1 dan Akaun 2,” katanya menjawab soalan Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat-PN) berkenaan penambahan semula simpanan KWSP selepas RM101 bilion dikeluarkan bagi membiayai pelbagai pakej rangsangan.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan memberitahu Dewan Rakyat pencarum KWSP yang mengeluarkan wang simpanan mereka ketika pandemik Covid-19 perlu bekerja tambahan empat hingga enam tahun untuk menampung defisit dalam dana persaraan masing-masing.

“Pengeluaran KWSP ketika pandemik mengurangkan peratusan simpanan mereka yang sudah mencapai simpanan persaraan minimum (anggaran RM240,000) daripada 36% pada 2020 kepada 27% tahun ini,” kata kementerian dalam jawapan bertulis kepada Parlimen.

Kementerian itu berkata skim pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra mengurangkan simpanan persaraan, walaupun ia memberi sedikit kelegaan kepada pencarum.

“Sebagai contoh, 73% pencarum kini dalam keadaan serius di mana simpanan mereka tidak cukup untuk bersara di atas paras kemiskinan,” katanya.

Menurut kementerian, Bumiptera paling teruk terjejas kerana 78% daripada mereka memohon untuk pengeluaran simpanan KWSP. – 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen