MALAYSIA kini berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kemungkinan penularan cacar monyet di negara ini berikutan laporan kes di luar negara.
Walaupun virus itu belum dilaporkan di negara ini, Malaysia sudah memulakan beberapa protokol kesihatan di sempadan antarabangsa.
Aplikasi MySejahtera, yang dibangunkan untuk pengesanan kontak Covid-19 juga dikemas kini untuk membolehkan pengembara menjalankan penilaian kendiri setiap hari untuk membantu memantau sebarang risiko penyakit itu.
Apakah cacar monyet?
Cacar monyet berkaitan dengan cacar, penyakit maut yang sudah dibasmi pada 1980.
Ia adalah endemik Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo dan Nigeria.
Bagaimanapun kes turut dilaporkan di Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran 200 kes cacar monyet yang ditemui dalam beberapa minggu kebelakangan ini di luar negara yang mana virus itu merebak mungkin hanya satu permulaan.
Sementara itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah menetapkan jumlah kes sedemikian pada 219.

Bolehkah anda mati kerananya?
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, walaupun cacar monyet boleh membawa maut, ia tidak seteruk cacar atau Covid-19.
“Anda boleh mati kerananya, kadar kematian adalah 3% hingga 5% yang menjadikannya lebih berbahaya berbanding Covid-19 dengan kadar kematian 0.5% sekarang,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.
Menurut WHO, gejala cacar monyet kekal dalam tempoh dua hingga empat minggu.
Lee berkata, gejala cacar monyet dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mungkin kelihatan agak sama sekali gus mencetus kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Malaysia juga kini sedang berhadapan wabak HFMD, yang mana 57,510 kes dilaporkan sejak Januari hingga 25 Mei.
“Ciri-ciri (cacar monyet dan HFMD) agak serupa, tetapi dalam kes HFMD, mereka akan mengalami demam, ruam dan lecur di tangan, kaki dan mulut sahaja.
“Dalam kes cacar monyet, ia hanya melecur dan ia di seluruh badan. Satu lagi perbezaan besar cacar monyet boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tua atau muda, manakala HFMD paling biasa berlaku pada kanak-kanak,” kata Lee.
Walaupun penyakit itu menular, Lee berkata ia tidak menular seperti HFMD atau Covid-19.
“Ia tidak mudah merebak, pastinya bukan pada skala Covid-19 atau HFMD.
“(Untuk merebak) manusia kepada manusia, anda biasanya perlu berhubung rapat, ia bukan melalui udara. Ia biasanya berjangkit melalui sentuhan dengan rembesan, luka atau menyentuh orang yang dijangkiti,” kata Lee.
Dalam kes haiwan kepada manusia, ia berlaku melalui menggigit atau menggaru.

Apa yang perlu dilakukan?
Lee berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, Malaysia perlu lebih berwaspada dengan mereka yang pulang dari negara endemik cacar monyet atau negara yang melaporkan virus itu.
“Pertama sekali, kita perlu berwaspada terhadap mereka yang pulang dari kawasan endemik.
“Terdapat kes sporadik di Eropah dan AS, tetapi kes itu adalah manusia kepada manusia dan melibatkan hubungan rapat.
“Jika anda berwaspada, kontak rapat boleh menerima vaksinasi untuk virus cacar monyet,” kata Lee.
Vaksin cacar boleh digunakan terhadap cacar monyet dengan keberkesanan 85%.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan tidak akan ada sebarang latihan inokulasi besar-besaran terhadap cacar monyet, sebaliknya, vaksin itu hanya akan ditawarkan kepada kontak rapat dan pekerja penjagaan kesihatan.
Lee berkata, sekiranya berlaku wabak, generasi lebih tua mungkin lebih dilindungi kerana mereka akan menerima virus cacar.
“Sesetengah daripada kita, generasi yang lebih tua mungkin dilindungi, tetapi vaksin itu akan berkurangan,” katanya sambil menambah generasi muda berhenti menerima vaksin selepas pemberiannya ditamatkan.
Lee berkata, cadangan kementerian kesihatan untuk menggunakan protokol Covid-19 sedia ada sekiranya berlaku wabak cacar monyet satu rancangan yang jitu.
“Saya fikir ia sepatutnya berkesan, cacar monyet tidak merebak secepat itu dan mudah dibendung.”
Lee menambah mungkin idea yang baik untuk mengambil sampel haiwan yang lazimnya dikaitkan dengan virus itu untuk tujuan saringan.
“Penyebaran antara haiwan ke manusia mungkin tidak memerlukan kontak rapat jadi kami mungkin perlu menyaring populasi haiwan, seperti monyet dan tikus.” – 31 Mei, 2022.
Komen