Pulau Pinang perlu sedia khidmat kaunseling bergerak tangani isu bunuh diri, kata Adun


Jambatan Pulau Pinang antara lokasi yang sering menjadi tempat individu cuba membunuh diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

KERAJAAN Pulau Pinang diminta supaya menyediakan perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara bergerak bagi menangani kes cubaan bunuh diri yang semakin membimbangkan di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) berkata perkhidmatan itu diperlukan bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan emosi.

“Ini bagi membendung lebih banyak lagi kes cubaan bunuh diri di negeri ini kesan daripada pandemik Covid-19,” katanya ketika mencelah Adun A Kumaresan (PKR-Batu Uban) yang membahaskan usul ucapan Yang Dipertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 di Georgetown, hari ini.

Dr Afif berkata, perkhidmatan seumpama itu dilaksanakan di Bandung, Indonesia dengan pihak berkuasa di sana menyediakan sebuah van di satu-satu kawasan bagi menempatkan seorang pakar psikiatri.

Katanya, perkhidmatan kaunseling atau psikologi secara bergerak menggunakan van boleh digunakan oleh sesiapa yang memerlukan bantuan serta sokongan emosi secara fizikal sekali gus membendung kes cubaan bunuh diri.

Sementara itu, Kumaresan berkata, trend cubaan bunuh diri di Pulau Pinang amat membimbangkan dengan 64 kes direkodkan sepanjang 2020 hingga kini.

“Kerajaan negeri perlu merangka semula pelan strategik serta formula baharu untuk menangani masalah ini dan saya mengesyorkan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang serta Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang menjadi ahli jawatankuasa kepada pelan strategik ini.

“Selain itu, dari segi undang-undang pihak berkuasa sepatutnya tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sedang mengalami kemurungan ini, sebaliknya membantu proses pemulihan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pakar serta agensi berkaitan untuk mencari mekanisme membantu mereka yang mengalami masalah dalam kehidupan bagi usaha mengurangkan kes bunuh diri.

Menurut Chow, usaha itu digerakkan oleh pengerusi jawatankuasa alam sekitar dan kebajikan, Phee Boon Poh bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta profesional dalam bidang perubatan di negeri itu. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen