Tuala wanita guna semula, cawan haid alternatif mesra alam, jimat wang


Chan Kok Leong

Selain menjimatkan wang, tuala wanita guna semula dan cawan haid juga mengelakkan alam sekitar tercemar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Mei, 2022.

TUALA wanita guna semula dan cawan haid atau menstrual cup menjimatkan duit poket Kusaaliny Mahendran ketika wanita berusia 23 tahun itu menuntut di universiti.

Kini, setiausaha politik kepada Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran itu melancarkan projek bagi menggalakkan wanita menggunakan cara yang serupa bukan sahaja untuk menjimatkan perbelanjaan tetapi juga memelihara alam sekitar.

Beliau juga berharap dua produk kebersihan feminin yang boleh diguna semula itu dapat menyelesaikan masalah kemiskinan haid dalam kalangan wanita B40.

Kusaaliny memberitahu The Malaysian Insight, beliau begitu berhati-hati berbelanja ketika belajar di Universiti Tuanku Abdul Rahman di kampus Sungai Long di Kajang, Selangor.

“Sebelum belajar di universiti mak yang uruskan semuanya untuk saya dan adik,” katanya.

Wanita berasal dari Perak itu berkata dengan wang saku sebanyak RM1,000 setiap bulan, beliau perlu berjimat-cermat bagi memastikan jumlah itu cukup untuk perbelanjaan makanan, pengangkutan, barang peribadi dan lain-lain.

Dengan baki RM500 selepas ditolak duit sewa bilik, Kusaaliny berkata beliau tidak boleh boros berbelanja. Untuk membeli tuala wanita pakai buang pula beliau perlu memperuntukkan antara RM25 hingga RM30 sebulan bergantung kepada kitaran haidnya.

Ketika itulah Kusaaliny berkata beliau mula mencari alternatif lain dengan menggunakan cawan haid.

Kusaaliny Mahendran berharap tuala wanita guna semula dan cawan haid dapat menyelesaikan masalah kemiskinan haid dalam kalangan wanita B40.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Mei, 2022.

Diperbuat daripada silikon lembut gred perubatan dan berbentuk seperti loceng, cawan haid di masukkan dalam faraj ketika haid, yang kemudian boleh dikeluarkan, dikosongkan, dicuci dan digunakan semula.

“Ketika itu tak banyak maklumat mengenai cawan haid dan sukar didapati. Hanya The Hive yang menjualnya,” katanya, merujuk kepada kedai yang menjual barangan sisa sifar (zero waste).

“Pada mulanya saya agak ragu-ragu, tetapi saya cuba juga lah sebab nak jimatkan duit.”

Kusaaliny berkata lama-kelamaan beliau tidak kekok menggunakan cawan haid dan sejak itu tidak lagi menggunakan tuala wanita pakai buang. 

“Menjimatkan wang, malah saya tak perlu lagi risau kalau kehabisan tuala wanita.

“Apabila cawan haid saya sudah penuh, saya cuma perlu kosongkan, cuci dan guna semula,” jelasnya semasa ditemu bual di Pusat Khidmat Adun Bukit Gasing di Petaling Jaya, Khamis lalu. – 28 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen